Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 26 JANUARI 2025 : Sebanyak 16 barangan keperluan utama semasa Tahun Baharu Cina 2025 telah diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025.
Menurut Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Encik Sim Chon Siang, kesemua barangan ini wajib dilabelkan dengan tanda harga berwarna merah jambu sepanjang pelaksanaan SHMMP berkuatkuasa 25 Januari hingga 2 Februari ini.
“Tempoh pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2025 adalah selama sembilan hari, iaitu 4 hari sebelum hari perayaan, 1 hari pada hari perayaan dan 4 hari selepas hari perayaan.
“Barangan yang terlibat adalah ikan bawal putih; udang putih; kubis bulat import; cili merah; lobak putih import; lobak merah; sawi pendek/Jepun (siew park choy); bawang merah besar import; bawang kuning besar; bawang putih; halia tua import; ubi kentang import; kepak ayam; babi hidup; daging babi (perut); dan daging babi (daging dan lemak).
“Dalam tempoh pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2025, barangan yang terlibat akan dilabelkan dengan tanda harga berwarna merah jambu bagi memudahkan pengguna untuk mengenalpasti barangan yang dikawal di bawah SHMMP Tahun Baharu Cina 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada tinjauan mesra dan hebahan SHMMP TBC 2025 serta program edaran limau mandarin di Pasaraya East Coast Mall (ECM) yang turut dihadiri Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang, Puan Jezlily Jamaluddin.
Beliau berkata semua pihak diingatkan untuk mematuhi harga yang ditetapkan ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan.

“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum bagi individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan bagi syarikat, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
“Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal bagi individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan bagi syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya.
Tambah beliau, aktiviti pemantauan ini adalah untuk memberi makluman kepada rakyat bahawa kerajaan sangat prihatin dan komited dalam menangani kos sara hidup serta kenaikan harga barangan.
“KPDN sentiasa berusaha untuk menstabilkan harga barangan keperluan, terutamanya bagi menghadapi musim perayaan. Pelaksanaan SHMMP ini juga merupakan langkah kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana, baik di bandar mahupun luar bandar, sebagai persediaan untuk sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2025.
“Kerjasama pihak pasar raya yang menjual barangan kawalan di bawah harga maksimum menunjukkan keprihatinan dan kebersamaan untuk memastikan pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan.
“Pendekatan ini selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI, di mana para peniaga digalakkan untuk menjual barangan pada harga lebih rendah daripada harga maksimum,” katanya. -PAHANGMEDIA

