Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 27 JANUARI 2025 : Rakyat di negeri ini perlu menghindari sebarang persengketaan terutamanya perkara yang melibatkan isu sensitif agama, kaum, dan institusi diraja (3R).
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ini kerana sekiranya isu ini dieksploitasi ia boleh mencetus perpecahan yang akan memberi kesan buruk kepada masyarakat dan negeri.
“Namun, dalam dunia yang semakin kompleks ini, kita perlu sentiasa berhati-hati terhadap ancaman yang boleh menggugat keharmonian tersebut.
“Di kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada semua lapisan masyarakat untuk sentiasa mengamalkan sikap berfikir sebelum bertindak, khususnya dalam penggunaan media sosial.
“Jangan mudah terpengaruh dengan berita palsu, provokasi, atau kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 di Dewan Serbaguna SJKC Jerkoh, Benta.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; dan Pengerusi Persatuan Perniagaan Cina Daerah Lipis, Tan Sri Lim Sing @ Lam Kam Sang.
Beliau berkata semua pihak perlu meningkatkan kesedaran dan memainkan peranan penting dalam membina masyarakat yang harmoni.
“Peranan kita sebagai rakyat adalah untuk memastikan keamanan dan kestabilan negeri ini terus terpelihara.
“Dalam konteks ini, saya amat menghargai usaha pihak berkuasa dan pemimpin masyarakat dalam mendidik rakyat tentang pentingnya mengelakkan isu-isu sensitif,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga komited untuk memastikan pembangunan di negeri ini dijalankan secara inklusif, adil, dan saksama.
“Kita mahu semua rakyat, tanpa mengira kaum dan agama merasai manfaat daripada kemajuan negeri. Namun, kejayaan ini hanya dapat dicapai jika kita semua bersatu padu dan bekerjasama.
“Justeru, saya menyeru kepada semua rakyat Pahang untuk terus menghormati kepelbagaian budaya, mengamalkan toleransi, dan menjauhi segala bentuk provokasi yang boleh menggugat keharmonian negeri.
“Marilah kita jadikan Tahun Baharu Cina ini sebagai simbol harapan untuk kehidupan yang lebih baik,” katanya. -PAHANGMEDIA

