Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 16 JANUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memberi perhatian kepada pemerkasaan dan pendedahan bidang teknologi kepada pelajar sekolah di negeri ini.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata ia bagi memastikan Pahang mempunyai generasi pelapis yang berkebolehan tinggi dalam bidang teknologi.
“Saya harap minat terhadap bidang robotik dapat diperkasakan lagi bermula dari peringkat sekolah rendah dan juga di sekolah menengah.
“Saya yakin di peringkat akar umbi kita ada kekuatan jadi amat rugilah sekiranya kita tak ambil peluang ini untuk bina daripada kekuatan tersebut untuk memastikan kita lebih hebat, lebih gah, dalam robotik.
“Kehadapan kita nak maju dalam bidang pembuatan, yang melibatkan banyak unsur robotik, dan dari sinilah kita akan dapat bakat dan pelapis dalam bidang teknologi di Pahang,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga sedang memperhalusi cadangan untuk mengadakan pertandingan robotik di peringkat Negeri Pahang.

“…kerana didapati pertandingan robotik di peringkat sekolah di Negeri Pahang ini tak begitu banyak. Jadi mungkin kita boleh wujudkan satu pertandingan besar yang kita jemput semua sekolah di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada SK LKTP Bukit Goh yang berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan World Robotic Challenge di Singapura baru-baru ini yang diwakili Guru Besarnya, Encik Wan Ahmad Shauqi Wan Yusuf.
Beliau dalam pertemuan berkenaan turut melahirkan rasa bangga di atas pencapaian para pelajar berkenaan yang dilihat mempunyai kebolehan setanding sekolah-sekolah lain di kawasan bandar.
Sementara itu, menurut Guru Besar SK LKTP Bukit Goh, pihaknya melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang diatas bantuan dan sumbangan yang sentiasa diberikan bagi memastikan pelajar dapat mengikuti pertandingan-pertandingan yang dijalankan.
Kelab Robotik SK (LKTP) Bukit Goh yang mewakili Malaysias dalam World Robot Games (WRG) 2024 di Nanyang Poly technic, Singapore pada 6 hingga 8 November 2024 turut mendapat tempat keempat kategori Sumo.
Pasukan yang dianggotai enam pelajar dari Tahun 3 sehingga Tahun 6 ini juga merupakan juara pada Felda Robotic Challenge Peringkat Kebangsaan. -PAHANGMEDIA

