Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 15 JANUARI 2025 : Sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pahang amat membantu para penerima terutamanya daripada golongan pelajar untuk lebih fokus menimba ilmu.
Menurut Puan S. Subashini, 50, yang mewakili anaknya G. Srisahana, 21, yang menerima sumbangan Kerajaan Negeri Pahang bagi menampung kos pengajian, melahirkan penghargaan kepada bantuan yang diberikan.
“Anak saya belajar di Fakulti Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun pertama.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar dan kepada Kerajaan Negeri Pahang khususnya kerana memberi bantuan ini. Bantuan ini boleh membantu dalam pelbagai aspek,” katanya.
Sementara itu, menurut Cik Nurul Huda Alia Mustapha, 20, yang menerima bantuan komputer riba, melahirkan rasa berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang yang dapat membantunya dalam pembelajaran.

“Hari ini saya dapat bantuan laptop (komputer riba), dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar, dan Kerajaan Pahang atas sumbangan laptop ini.
“Ia sangat membantu sepanjang proses pembelajaran saya. Sebelum ini tak guna lagi laptop tapi disebabkan saya ada kos yang memerlukan laptop, saya amat hargai pemberian ini,” kata pelajar tahun pertama jurusan Sains Marin di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Indera Mahkota.
Kesemua sumbangan Kerajaan Negeri Pahang bernilai RM1.2 juta ini disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail kepada 43 penerima di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), KotaSAS. -PAHANGMEDIA

