Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
PUTRAJAYA, 12 JANUARI 2025 : Pegawai di Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) diseru untuk memastikan syiar Islam diletakkan di tempat teratas dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, perkara ini dapat dilaksanakan memandangkan Kerajaan Negeri Pahang telah memberikan peruntukkan hampir RM200 juta kepada JAIP.
“Semua pegawai di negeri ini hendaklah menjalankan tugas mereka secara professional dan kita kena pastikan syiar agama Islam kita letakkan di tempat paling atas sekali di dalam pentadbiran kita.

“Dan apa jua dasar yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri saya harap mereka dapat laksanakan kerana kita memberi peruntukkan untuk tahun ini hampir RM200 juta kepada Jabatan Agama Islam Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutupan Program Peningkatan Professionalisme Kumpulan Pengurusan & Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Hotel Everly Putrajaya.
Turut hadir, YB. Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Pengarah JAIP, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli; dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi.

Tambah beliau, program yang julung kali diadakan ini juga dilihat dapat membawa pendekatan yang lebih segar dan bermakna kepada pegawai dan kadi yang terlibat untuk disampaikan kepada masyarakat.
“Program ini disyorkan untuk dibuat secara berkala dan saya menyokong (perkara ini) kerana saya tahu hanya dengan memberi latihan dan kursus supaya kita sentiasa lebih segar, lebih bermakna, dan kita dapat menjalankan tugas dengan lebih komited lagi.
“Dan kursus ini sebenarnya memberikan kita pengetahuan dan dalam masa yang sama mengajar dan mendidik kita supaya menjadi lebih proaktif lagi,” katanya.
Menurut Pengarah JAIP, program yang dijalankan selama tiga hari ini dapat memberi pendedahan dan diharapkan dapat diteruskan melibatkan skim perkhidmatan lain di JAIP.
Manakala menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, program anjuran Yayasan Pahang ini diharapkan dapat meningkatkan kecekapan dan memberi peluang kepada JAIP untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Pahang. -PAHANGMEDIA

