Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 24 DISEMBER 2024 : Sebuah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bernilai RM4.5 juta akan dibina di Benta yang dijangka siap dibina dalam tempoh 18 bulan.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pembinaan balai bomba ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 penduduk di sekitar kawasan berkenaan memandangkan balai bomba terdekat terletak kira-kira 30 kilometer.
“Ini merupakan satu lagi projek untuk rakyat di mana jika berlaku kecemasan, kebakaran, dan sebagainya akan dapat bantuan dengan kadar yang cepat.
“Kita minta dijauhilah dari segala bala bencana kebakaran dan lain-lain, tapi kalau ditakdirkan berlaku maknanya akan mendapat bantuan dengan kadar yang cepat berbanding sekarang lebih kurang 29 kilometer bomba baru nak datang, sekarang ini depan mata sahaja, dalam 4 ke 5 minit dah sampai.
“Dan manfaatnya akan dicapai jika projek ini siap sebab itu saya tekankan ia dapat disiapkan mengikut jadual, kalau boleh, lagi cepat lagi bagus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Projek Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Benta di Pekan Benta.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, YB. Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Ketua Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dato’ Ts. Nor Hisham Mohammad; dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Pahang, YS. Dato’ Dr. Ts. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Tambah beliau, balai bomba yang akan dibina ini juga turut melibatkan pembinaan kuarters penempatan kepada pegawai dan anggota bomba di kawasan berkenaan.
Sementara itu, menurut YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, pembinaan balai bomba ini juga dapat memberi bantuan kepada penduduk di kawasan berdekatan.
“BBP Benta ini tidak hanya memberi manfaat kepada penduduk sekitar Benta bahkan ia boleh memberi bantuan kepada penduduk di luar daerah yang berdekatan.
“la juga akan membantu BBP Raub dan
BBP Lipis yang mana proses menyelamat tidak hanya kepada mangsa banjir dan kebakaran tetapi juga kejadian kemalangan di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU),” katanya.
BBP Benta merupakan projek pembinaan Balai Bomba Kategori D yang akan dilaksanakan di atas tapak berkeluasan 3.022 ekar dan akan dilengkapi dengan ruang jentera, padang kawad dan menara, stor logistik, dan kemudahan-kemudahan lain.
Cadangan pembinaan BBP Benta ini pada asalnya merupakan projek pembangunan balai bomba dan kuarters yang telah diluluskan kerajaan pada tahun 2023 di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia ke-12
(RMKe-12) dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM 4.5 juta.
Pembinaan balai bomba yang akan beroperasi dengan kekuatan 28 orang pegawai bomba diketuai Ketua Balai Gred KB 3 ini akan dimulakan pada 23 Oktober 2025 dan setelah siap dibina kelak, ia akan menjadi BBP yang ke-31 di Pahang selepas projek pembinaan BBP Sungai Lembing dan BBP GohTong Jaya selesai. -PAHANGMEDIA

