Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 20 DISEMBER 2024 : “Terima kasih Kerajaan Negeri Pahang kerana bagi sumbangan kepada kami,” kongsi penerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Anak Yatim daerah Pekan.
Menurut Azrul Hakimi Azman, 17, dia berasa bangga dan terharu dengan pemberian Kerajaan Negeri kepada dia dan rakan-rakan anak yatim di Rumah Penyayang Tun Razak di sini.
“Saya berasa gembira kerana mendapat bantuan daripada Kerajaan Negeri dan saya nak ucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang memberikan sumbangan ini kepada kami.
“Saya pelan nak simpan duit ni untuk digunakan masa sambung belajar nanti dalam bidang kemahiran menggunting rambut,” katanya.

Menurut Noraini Abu Bakar, 17, dia merasa gembira di atas sumbangan yang diberikan Kerajaan Negeri ini dan bercadang untuk menggunakan bagi membeli keperluan diri.
“Saya pelan nak buat duit belanja makan masa kelas tambahan, beli sabun, beli baju sekolah, semua.
“Kebetulan dapat duit ni esok cuti sekolah, boleh saya keluar beli barangan dengan penjaga dan pemandu asrama nanti,” katanya.
Sementara itu, menurut Nur Husna Fatihah Abdullah, 16, sumbangan yang diberikan ini amat menggembirakan para penerima kerana dapat membantu memenuhi keperluan sekolah pada tahun hadapan.
Seramai 19 penghuni Rumah Penyayang Tun Razak di Kampung Ulu Parit telah menerima sumbangan BPP Kluster Anak Yatim yang disampaikan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib. -PAHANGMEDIA

