Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 14 DISEMBER 2024 : Pemimpin muda Pahang perlu digilap supaya dapat merealisasikan potensi diri sekaligus dapat menyumbang kepada Negeri Pahang sekaligus membangunkan modal insan.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, program Retreat Pemimpin Muda seumpama ini perlu diteruskan pada masa hadapan dalam melahirkan pemimpin berpotensi di kalangan belia.
“Mereka ini adalah pemimpin masa hadapan dan mereka perlu diberi pendedahan, digilap supaya dapat merealisasikan potensi besar mereka untuk menyumbang kembali kepada Kerajaan Negeri.
“Apa yang saya lihat belia di sini, (mereka) ada ilmu pengetahuan, mereka peka dan tahu apa berlaku di luar sana dan ini satu petanda yang baik dan saya harap ciri-ciri ini akan membolehkan mereka menjadi pemimpin yang lebih lengkap, berkebolehan dalam serba bidang dan kita perlu teruskan program-program sebegini untuk memberi pendedahan dan membangunkan modal insan mereka sebagai pemimpin berpotensi di kalangan belia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas berkongsi pengalaman pada slot bertajuk “Sains, Teknologi dan Inovasi Masa Depan Pahang” pada Program Retreat Pemimpin Muda Pahang (PYLR) 2024 yang diadakan selama empat hari di Erya Suria Cherating, Kuantan.
Program tersebut melibatkan seramai 80 peserta terdiri daripada anak-anak Pahang yang berkerjaya profesional, penjawat awam hinggalah kepada usahawan berjaya.
YB. Dato’ Mohamad Nizar berkata, program PYLR juga amat baik kerana dapat mengumpulkan pemimpin belia dari pelbagai sektor seperti sukan, kerajaan dan swasta yang membolehkannya berkongsi tentang pencapaian serta halatuju Kerajaan Pahang dalam bidang ekonomi dan pelaburan.
PYLR anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang bersama Pahang Corporation Management Services (PCMS) ini turut menampilkan penceramah dan fasilitator di kalangan pemimpin muda yang hebat serta berpengalaman dan memberikan perkongsian kepada peserta. – PAHANGMEDIA

