Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Akmalia Allen
KUANTAN, 14 DISEMBER 2024 : Penganjuran Retreat Pemimpin Muda Pahang (PYLR) 2024 merupakan medan menyatukan idea, nilai dan pandangan anak muda dalam merencana perancangan gerak kerja yang lebih sistematik dan tersusun pada masa akan datang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, Kerajaan Pahang ingin mendengar sendiri segala pendapat dan keperluan anak muda ini dalam membentuk satu naratif yang baharu.
“Penutup untuk tahun ini tetapi permulaan untuk gerak kerja yang lebih tersusun dan sistematik untuk tahun-tahun yang mendatang untuk anak muda Pahang.
“Perbezaan latar belakang mereka ini memberikan banyak ilham kepada saya untuk merencana program-program belia yang akan dibuat selepas ini.
“Dan kita tengok segmen-segmen yang ada ini membuktikan bahawa banyak lagi kerja yang perlu kita lakukan pada masa depan untuk memenuhi kehendak dan keperluan belia di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Retreat Pemimpin Muda Pahang (PYLR) 2024 yang diadakan selama empat hari di Erya Suria Cherating, Kuantan.
Program tersebut melibatkan seramai 80 peserta terdiri daripada anak-anak Pahang yang berkerjaya profesional, penjawat awam hinggalah kepada usahawan berjaya.
Menurutnya, perbezaan latar belakang kerjaya ini memberikan kepelbagaian dalam menzahirkan pandangan serta pendapat yang berkait dengan pelbagai keperluan belia di setiap golongan di negeri ini.
“Jadi kita boleh gembleng idea dan pandangan ini dan kita bentuk satu naratif baru untuk anak muda Pahang di negeri ini.
“Dan saya menyatakan kepada mereka tadi bahawa zaman kerajaan tahu segala-galanya sudah lama tamat, kita nak dengar pandangan mereka sebab kita tak nak syok sendiri dalam merangka polisi dan dasar berkait dengan anak muda ini,” katanya.
PYLR anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang bersama Pahang Corporation Management Services (PCMS) ini turut menampilkan penceramah dan fasilitator di kalangan pemimpin muda yang hebat serta berpengalaman dan memberikan perkongsian kepada peserta. – PAHANGMEDIA

