Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 DISEMBER 2024 : Jumlah pembayar zakat melibatkan individu dan agensi meningkat kepada 93,274 bagi tahun ini berbanding 91,507 pada tahun lepas.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain, sehingga November, Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang telah berjaya mengutip zakat harta sebanyak
RM150.8 juta.
“Mengenai kutipan zakat sehingga November tahun ini, Pusat Kutipan Zakat Pahang telah berjaya mengutip zakat harta sebanyak RM150.8 juta berbanding pada tempoh yang sama pada tahun 2023 iaitu RM152.2 juta.
“Penurunan sebanyak RM1.4 juta adalah disebabkan beberapa syarikat korporat masih belum melaksanakan bayaran zakat mereka untuk tahun ini.
“Namun begitu, walaupun kutipan sedikit menurun tetapi bilangan pembayar zakat meningkat seramai 1,767 orang dan agensi, berbanding tahun lalu iaitu meningkat dari 91,507 kepada 93,274 orang dan agensi,” katanya.
Beliau berucap demikian pada persembahan ucapan Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan-Badan Korporat di Hotel Grand Darul Makmur.
Berangkat tiba, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; dan YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob.
Turut hadir, YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Menurut beliau, zakat pendapatan merupakan kategori tertinggi bagi pembayaran zakat harta dengan nilai bayaran sebanyak RM88.7 juta diikuti zakat perniagaan sebanyak RM38.1 juta.
“Kategori tertinggi zakat harta adalah daripada zakat pendapatan berjumlah RM88.7 juta daripada 81,596 pembayar.
“Kategori kedua terbesar pembayar zakat harta adalah sumbangan daripada zakat perniagaan yang meliputi perniagaan-perniagaan kecil sederhana sehinggalah kepada badan-badan korporat seperti hari ini dengan amaun RM38.1 juta,” katanya.
Tambah beliau, setakat November, pihak MUIP juga telah mengagihkan bantuan zakat kepada penerima daripada golongan asnaf, fakir, dan miskin dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM329 juta.
“Begitu juga bagi prestasi agihan zakat pada tahun 2024, sehingga November ini pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu
Pahang (MUIP) telah mengagihkan bantuan zakat kepada golongan asnaf yang layak menerima sebanyak RM214 juta dengan jumlah penerima seramai 103,000 orang.
“Agihan terbesar bantuan zakat bagi tahun ini adalah kepada Asnaf Fakir dan Miskin iaitu asnaf Miskin berjumlah RM92 juta, dan asnaf
Fakir berjumlah RM23 juta menjadikan bantuan kedua-duanya berjumlah RM115 juta,” katanya.
Beliau turut melahirkan keyakinan untuk mencapai kutipan bayaran zakat sebanyak RM230 juta bagi tahun ini seperti yang telah disasarkan.
Sebanyak RM31 juta telah diterima pihak MUIP pada hari ini melalui pembayaran zakat perniagaan oleh 21 badan korporat di Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

