Oleh : Fadhil Roslizan
RAUB, 10 DISEMBER 2024 : Program Mara Lasak yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub yang melibatkan pegawai dan anggota polis serta masyarakat setempat mampu memupuk semangat kesukanan dan meningkatkan tahap kecergasan fizikal.
Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri Dong, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap program ini sebagai satu inisiatif penting dalam memperkukuhkan hubungan antara pihak berkuasa dan masyarakat setempat serta mempromosikan gaya hidup sihat.
“Setiap peserta dikehendaki memikul beban 5kg dan berlari sejauh 7.6km melalui laluan yang sukar seperti denai, belukar dan kebun sawit. Ditambah pula dengan cuaca yang hujan pada pagi ini telah memberi cabaran yang lebih berat kepada peserta.
“Saya melihat program seperti ini boleh diperluaskan kepada orang awam khususnya anak muda dalam memberi penekanan kepada aspek kekuatan fizikal dan mental serta semangat berpasukan. Ini semua merupakan kunci kepada pembinaan jati diri seseorang terutamanya golongan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelepasan peserta Mara Lasak 2024 di Padang SK Felda Krau di sini, hari ini.
Program larian dimulakan dengan taklimat penganjur dan disusuli dengan sesi pemanasan badan yang dipimpin oleh jurulatih profesional, diikuti dengan larian di dalam kebun sawit Felda Krau.
Dengan kerjasama antara pihak polis, kerajaan negeri, dan masyarakat setempat, program seperti ini dapat menjadi platform dalam memperkukuhkan lagi hubungan dalam kalangan komuniti, selain meningkatkan kesedaran tentang kepentingan gaya hidup sihat. – PAHANGMEDIA

