Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 DISEMBER 2024 : Seramai 25,996 orang remaja telah mengikuti program psiko-seksual remaja yang dilaksanakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pahang (LPPKN) sehingga Disember ini.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, tahun ini, perkhidmatan dan program kepada remaja terbabit dilaksanakan menerusi aktiviti KafeTEEN di UTC Kuantan, program PEKERTI di sekolah dan komuniti serta di pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi).
Katanya, LPPKN Negeri Pahang juga mengadakan kolaborasi dengan pihak sekolah dan IPT awam dan swasta untuk slot ceramah motivasi kekeluargaan serta kesihatan reproduktif dan sosial.
“Remaja merupakan generasi penting dalam mencorakkan masa depan negara. Oleh yang demikian golongan ini perlu dibimbing dan diberi perhatian serta sokongan untuk melalui fasa alam remaja selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan remaja yang berdaya tahan dan berperibadi mulia,” katanya ketika berucap dalam sesi pergulungan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Dalam pada itu, YB. Dato’ Sabariah juga memaklumkan setakat 30 November lalu, seramai 1,381 wanita negeri ini telah menjalani pemeriksaan mamogram dan seramai 1,526 wanita menjalani HPV DNA menerusi kempen Women Cancer Reproductive (WCaRe) yang dilaksanakan.
“Dalam agenda pemerkasaan wanita, LPPKN secara tidak langsung berperanan untuk memastikan kesihatan terutamanya kesihatan reproduktif wanita diberi tumpuan.
“Inisiatif secara berterusan dilaksanakan menerusi kempen WCaRe kepada golongan wanita untuk melakukan pemeriksaan awal bagi mengesan 22 kanser payu dara dan pangkal rahim,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang yang memberi sokongan kepada LPPKN Negeri Pahang bagi pelaksanaan program Mini Karnival 3S Keluarga : ‘Moh Kita Sihat, Selamat dan Sejahtera’ sempena November Bulan Keluarga Kebangsaan Tahun 2024 di Dewan Jubli Perak, Kuala Lipis dengan peruntukan sebanyak RM68,810.00 tahun ini.
“Di samping menerapkan nilai kasih menerusi siri ceramah dan pengkongsian tips kepada masyarakat, LPPKN bersama agensi kerajaan yang lain di Negeri Pahang turut menyediakan perkhidmatan lain yang memberi manfaat kepada ahli keluarga seperti perkhidmatan kaunseling, pemeriksaaan kesihatan, pendaftaran subsidi mamogram dan aktiviti untuk kesejahteraan remaja di KafeTEEN,” katanya lagi.-PAHANGMEDIA

