Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 DISEMBER 2024 : Sebanyak 30 projek dilaksanakan di Pahang dengan nilai penyaluran dana hampir RM81 juta daripada 32 peratus nilai keseluruhan penyaluran dana kepada FELDA.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, projek secara berkelompok melalui koperasi dan badan di rancangan manakala seramai 1,840 orang warga peneroka terlibat dalam projek secara individu.
“Projek terbesar di Negeri Pahang adalah projek tanaman nanas MD2 berlokasi di Lanchang seluas 285 ekar, seluas 47 ekar di FELDA Mempaga 2, dan 60 ekar di FELDA Keratong 9. Projek-projek ini dilaksanakan dengan kerjasama pemain industri telah menembusi pasaran eksport ke luar negara.
“Projek-projek ini telah mula mengeluarkan hasil secara berperingkat pada pertengahan 2024 dan dijangka akan memberi pulangan sehingga RM1,000 setiap peneroka setahun kepada 2,046 orang peneroka bermula tahun 2025,” katanya.
Menurut beliau, FELDA telah menerima penyaluran dana sebanyak RM253.6 juta bersamaan 25 peratus daripada dana yang disalurkan setakat November tahun ini.
“Antara projek berimpak tinggi yang telah dibangunkan di rancangan FELDA adalah Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang merupakan inisiatif Kertas Putih FELDA dengan peruntukan sejumlah hampir RM1 bilion bertujuan untuk menambah pendapatan peneroka melalui kepelbagaian tanaman dan ternakan.
“Melalui dana yang telah disalurkan, FELDA telah melaksanakan sebanyak 7,766 projek merangkumi projek-projek individu dan projek berkelompok melibatkan kira-kira 50,000 orang peneroka.
“PPP merupakan program merancakkan ekonomi dalam kawasan rancangan dengan mempelbagaikan sumber pendapatan warga peneroka di samping membuka peluang pekerjaan dan mengurangkan migrasi belia ke luar rancangan,” katanya.
Tambah beliau lagi, program PPP juga turut mendukung agenda keselamatan makanan negara melalui peningkatan prestasi pengeluaran dalam sektor tanaman, ternakan dan akuakultur.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

