Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 DISEMBER 2024 : Seramai 55 peserta program Pahang Lead Tier 4 (Pahang Elite) terdiri daripada pelajar sekolah seluruh negeri ini teruja apabila diberi peluang menyaksikan sendiri perjalanan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15, hari ini.
Pahang Lead merupakan program insiatif Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan Yayasan Pahang (YP) bertujuan untuk mencungkil dan melahirkan anak Pahang yang berwibawa serta mempunyai identiti dan jati diri cintakan Negeri Pahang.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kuala Lipis, Ahmad Adi Naiediel Ahmad Sira, 16, berkata, berpeluang memasuki Dewan Negeri merupakan satu pengalaman baharu buat dirinya.
“Pengalaman saya hari ini, masuk dalam dewan itu memang rasa lain macam sebab kita tidak pernah cuba masuk dalam dewan itu. Jadi ini merupakan satu pengalaman baru dan saya akan ingat sampai bila-bila. Jadi kenangan manis.
“Ia merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan boleh diceritakan kepada generasi akan datang dan rakan-rakan yang tidak pernah masuk (ke dalam Dewan Negeri).
“Kita boleh cerita tentang pengalaman kita di sana. Suasananya juga lain. Bila kita masuk dalam itu terus kita rasa macam YB,” katanya.

Bagi pelajar pelajar SMK Bandar Tun Razak, Rompin, Amiza Herlini Feyrul Hendra pula berkata, dia merakamkan setinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri kerana memberi peluang buatnya untuk turut serta dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15, hari ini.
“Saya rasa sangat bersyukur. Mulanya saya rasa tidak yakin dengan diri sendiri sebab saya dikelilingi orang yang hebat dan saya tidak sangka saya dapat masuk ke dalam Dewan Negeri dan merasai pengalaman yang saya tidak pernah rasa sebelum ini.

“Saya nak berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana telah memberi saya peluang untuk turut serta dalam program ini dan memberi saya banyak peluang untuk menimba ilmu tentang kerajaan dan negeri saya sendiri iaitu Pahang serta menimbulkan cinta yang lebih dalam diri saya untuk menjadi seorang warganegara yang bagus.
“Dengan program ini saya rasa lebih berminat untuk menjadi orang berintegriti dan seorang pemimpin yang bertanggungjawab pada masa hadapan,” katanya memberitahu bercita-cita untuk mengikut idolanya, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Seorang lagi peserta iaitu pelajar SMK Mengkarak, Bera, Nawwar Wadihah Khairul Azmi, 16, pula, pengalaman berpeluang menyertai Sidang Dewan Negeri menjadikannya lebih yakin untuk mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang pemimpin berwibawa.
“Saya teruja dapat masuk dalam Dewan Negeri ini kerana saya banyak mengidolakan mereka yang berada di kerusi-kerusi tersebut.
“Contohnya saya sangat minat dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai, YB. Dato’ Sabariah Saidan kerana ketika di Tier 3, saya ada interview beliau dan sejak dari itu saya meminati beliau.
“Saya juga dari kecil memang banyak bercakap dan memang minat berdebat jadi bila saya tengok mereka (pemimpin) di dalam Dewan Negeri berdebat, saya rasa nak jadi macam mereka,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

