Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 DISEMBER 2024 : Sebanyak 7,983 unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang telah memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) sehingga September 2024 manakala Rumah Makmur pula sebanyak 30 unit telah memperoleh CCC.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, jumlah unit yang sedang dibangunkan pula adalah sebanyak 11,639 unit PR1MA Pahang dan 2,109 unit bagi Rumah Makmur di seluruh Pahang.
“Jumlah PR1MA Pahang yang telah memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) sehingga September 2024 adalah sebanyak 7,983 unit manakala bagi Rumah Makmur adalah sebanyak 30 unit dan ini kita akan tingkatkan lagi pada masa akan datang.
“Untuk tahun ini sahaja kita telah menyerahkan rumah sebanyak 350 unit dan untuk tahun hadapan kita sasarkan penyerahan rumah PR1MA ini sebanyak 620 unit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB. Tuan Mohd Sharim Haji Md Zain pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Dalam pada itu, jumlah unit sedang dibangunkan adalah sebanyak 11,639 unit bagi PR1MA Pahang dan 2,109 unit bagi Rumah Makmur di seluruh Negeri Pahang.
Beliau berkata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) akan sentiasa memantau pelaksanaan projek-projek tersebut dari masa ke semasa bagi merealisasikan hasrat kerajaan dalam menyediakan kediaman yang selesa kepada rakyat. – PAHANGMEDIA

