Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 DISEMBER 2024 : Berdasarkan data pada 2023, seramai 27,031 orang daripada 30,600 penerima Kad Kesihatan Kasih Makmur aktif menggunakan manfaat kad berkenaan bagi menerima rawatan kesihatan di klinik-klinik terpilih di bawah program berkenaan.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, pada tahu lalu kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta bagi melaksanakan inisiatif ini yang mana kesemua 30,600 penerima dapat menerima manfaat.
“Pada tahun 2023 pihak Kerajaan Pahang telah memperuntukkan RM20 juta bagi melaksanakan inisiatif ini, Program Kasih Makmur pada tahun 2023 memberi manfaat kepada 30,600 orang penerima terdiri daripada 15,067 orang merupakan penerima bantuan JKM dari skim Bantuan Warga Emas dan Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja.
“Selebihnya 15,533 orang adalah terdiri daripada warga emas di peringkat DUN dan pesara KEMAS, JASA, SERANTA, ketua kampung dan bekas ketua kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, YB. Dato’ Haji Andansura Rabu pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pada tahun 2024 Kerajaan Pahang telah menambahbaik Program Kasih Makmur dengan mewujudkan aplikasi Kasih Makmur, menambah bilangan klinik panel kepada 150 klinik pada 2024, memperluaskan jenis rawatan dan perlindungan, melaksanakan CSR Klinik Bergerak, mengaktifkan perkhidmatan rawatan rumah ke rumah dan menyertai program bersama wakil rakyat setempat dan karnival anjuran Kerajaan Negeri seperti ‘Moh Karnival Makmur’.
Menjawab soalan tambahan daripada YB. Dato’ Haji Andansura berhubung peluasan penggunaan kad ke farmasi bertujuan mengurangkan kos konsultasi di klinik panel, beliau berkata, cas yang dikenakan kepada pemegang kad kesihatan Kasih Makmur sememangnya tidak dikenakan cas konsultasi sebaliknya cas bayaran hanya dikenakan ke atas ubat yang diterima sahaja. – PAHANGMEDIA

