Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 03 DISEMBER 2024 : “Pastikan Bahasa Melayu dan tulisan jawi digunakan secara menyeluruh, bukan sekadar memenuhi syarat,” titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Baginda bertitah penggunaan tulisan jawi adalah sebagai tanda cinta dan hormat kepada warisan bangsa.
“Negeri Pahang sebagai negeri yang kaya dengan sejarah, alam semula jadi, dan budaya telah mengambil langkah proaktif dengan menguatkuasakan penggunaan Bahasa Melayu dan tulisan jawi pada semua papan tanda premis perniagaan serta jalan raya bermula
tahun 2020 lagi.
“Tindakan daripada titah saya ketika itu adalah manifestasi komitmen kita untuk memastikan identiti kita terus terpelihara dan dikenali. Tulisan jawi, sebagai sebahagian daripada warisan bangsa, turut memainkan peranan penting dalam menonjolkan keaslian negeri ini.
“Saya menyeru kepada semua rakyat, terutamanya pengusaha premis perniagaan, penggiat industri pelancongan dan masyarakat awam untuk terus mematuhi dan mendukung peraturan ini. Pastikan Bahasa Melayu dan tulisan jawi digunakan secara menyeluruh, bukan sekadar memenuhi syarat tetapi sebagai tanda cinta dan hormat kita kepada warisan bangsa,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi tetapi juga merupakan lambang identiti, budaya, dan kedaulatan negara.
“Disamping kita menjaga perihal agama dan bangsa, jangan pernah untuk kita mengabaikan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi tetapi lambang identiti, budaya, dan kedaulatan negara. Malah, Bahasa Melayu adalah medium utama yang dapat memperkenalkan keunikan warisan, adat resam, dan tradisi kita kepada seluruh dunia,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan orang ramai untuk tidak menjadi seperti kaduk naik junjung berkaitan bahasa dan budaya luar.
“Saya ingin mengingatkan bahawa kita tidak perlu menjadi seperti kaduk naik junjung, terlalu teruja dengan bahasa dan budaya luar hingga mengabaikan akar bangsa kita sendiri.
“Dalam usaha membangunkan negeri dan membuka pintu kepada pelancong dari serata dunia, kita tidak harus kehilangan jati diri.
“Sebaliknya, kita mesti memastikan setiap yang melawat ke Negeri Pahang merasai keunikan budaya dan bahasa kita,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Rengai yang kemudiannya dimasyhurkan sebagai Masjid Ar-Rahman Kampung Rengai.
Turut mengiringi Kebawah Duli Paduka Baginda, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj. -PAHANGMEDIA

