Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 03 DISEMBER 2024 : Kurniaan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) memberi sinar baharu kepada rakyat jelata yang menginginkan kediaman untuk berteduh dan menjalani kehidupan yang sejahtera.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pengurniaan rumah Ru’RASA ini juga merupakan tanda kasih dan keperihatinan Paduka Baginda kepada rakyat di negeri ini.
“Di kesempatan ini, patik menjunjung setinggi-tinggi kasih ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku yang telah berkenan mengurniakan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) kepada 15 penerima di daerah Lipis, termasuk seorang penerima dari Kampung Tanjung Gahai, sebentar tadi.
“Pengurniaan rumah Ru’RASA ini merupakan cetusan idea serta tanda kasih dan prihatin Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku membantu rakyat jelata yang tidak mempunyai rumah atau rumah yang diduduki terlalu uzur, bagi memiliki rumah yang selamat dan selesa untuk didiami,” katanya.
Beliau berucap demikian pada persembahan ucapan menjunjung kasih Majlis Jamuan Rakyat Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Bersama-sama Penduduk Kampung Tanjung Gahai di Dataran Santuari Kampung Tanjung Gahai.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Emeriah Arab Bersatu (UAE) yang membiayai kos pembinaan rumah Ru’Rasa di negeri ini.
“Patik juga turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang telah membiayai kos pembinaan projek perumahan Ru’RASA di seluruh negeri ini.
“Patik percaya, pengurniaan rumah Ru’RASA ini telah memberi sinar baharu kepada rakyat jelata yang menginginkan sebuah kediaman untuk berteduh dan menjalani kehidupan yang sejahtera,” katanya.
Paduka Baginda Sultan Pahang yang berangkat dengan memandu sendiri tiba pada 12.30 tengahari dengan diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Paduka Baginda berdua kemudiannya berkenan bercemar duli melawat kawasan santuari dan memberi makan ikan di kawasan sangkar yang diusahakan di tebing Sungai Gahai sebelum berangkat melawat Galeri Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di kampung berkenaan. -PAHANGMEDIA

