Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 3 DISEMBER 2024 : Kesungguhan dan komitmen Kerajaan Pahang dalam menghidupkan syiar Islam di Negeri Pahang turut dapat dinikmati oleh semua rakyat termasuklah masyarakat Orang Asli.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB. Dato’ Rodzuan Zaaba berkata, hal ini terbukti apabila Kerajaan Negeri cakna dan prihatin terhadap keperluan masyarakat termasuklah Orang Asli terhadap keperluan rumah ibadat seperti surau.
“Kerajaan Negeri sentiasa mendengar dan cakna dengan keperluan rakyat. Ini terbukti dengan pembinaan sebuah surau di Kampung Orang Asli (KOA) Pasu dan Surau ini menjadi satu keperluan bukan sahaja untuk beribadat tetapi juga untuk mereka menimba ilmu pengetahuan tentang Islam dan nilai-nilai murni.
“Surau ini juga menjadi bukti bahawa syiar Islam terus mekar di Negeri Pahang dan menolak kata-kata bahawa Negeri Pahang tidak menegakkan syiar islam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Perbahasan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Jelasnya, kemudahan surau baharu di KOA Pasu tersebut dapat dimanfaatkan oleh 166 penduduk Orang Asli yang beragama Islam di perkampungan berkenaan. – PAHANGMEDIA

