Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 03 DISEMBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menasihatkan agar rumah bertiang dibina bagi rumah berhampiran kawasan sungai.
Paduka Baginda bertitah, pembinaan rumah bertiang ini digalakkan bagi rumah berhampiran sungai dan anak sungai yang mudah dinaiki air pada musim banjir.
“Kita sempat bertanya dengan mangsa-mangsa banjir masa dekat PPS (Pusat Pemindahan Sementara), keadaan rumah dia semua.

“Jadi kalau boleh masa-masa akan datang kita bina rumah bertiang bagi rumah berhampiran dengan sungai, Sungai Pahang ke anak sungai mana sekali pun lah. Itu je nasihat saya.
“Dinasihatkan kalau mana rumah-rumah berhampiran sungai, anak-anak sungai sekalipun biarlah bertiang. Kalau rumah atas bukit ni tak apalah tak perlu bertiang,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika ditemui media pada Majlis Pengurniaan Replika Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Tanjung Gahai.
Paduka Baginda Sultan Pahang yang berangkat dengan memandu sendiri tiba pada 11.15 lagi diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

Al-Sultan Abdullah bertitah pembinaan rumah bertiang ini juga dapat menjamin keselamatan dan mengurangkan kos bagi jangka masa panjang sekiranya berlaku bencana banjir.
“Mungkin ada kos lebih sikit tetapi untuk jangka panjang mungkin lebih selamat. Itulah kita tengok dari segi keselamatanlah. Boleh ditambahbaik. Tidak tak ada makna buat rumah tapi tiap-tiap tahun kena hadapi yang sama. Rugilah duit kerajaan ke duit sendiri sekali pun.
“Kalau bertiang pun bawah tiang boleh letak kereta, boleh berjamu macam orang dulu-dulu, buat kerja kahwin, multipurpose hall. Beranda di bawah macam orang Melayu dulu. Rumah Melayu dulukan semua bertiang,” titah baginda.
Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, YABhg. Datin Sri Diraja Dato’ Burhah Mohammed; dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Al-Sultan Abdullah telah berkenan mengurniakan replika kunci kepada 15 penerima rumah jenis sesebuah bagi Fasa Kedua di daerah ini dengan kos sebanyak RM75,000 seunit. -PAHANGMEDIA

