Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri meneruskan inisiatif Karya Anak Pahang dengan memperuntukan RM200,000 bagi menggalakkan anak-anak Pahang berkongsi kreativiti dalam berkarya berkaitan negeri itu.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini merupakan komitmen Kerajaan Negeri bagi memartabatkan keunikan Negeri Pahang menerusi tema berbeza yang ditetapkan pada setiap bulan dalam tiga kategori iaitu penulisan, fotografi dan penghasilan video.
Selain itu, Kerajaan Pahang juga turut menyantuni anak-anak Pahang di perantauan dengan memperuntukkan geran kepada Sekretariat Perantau Anak Pahang sebanyak RM200,000.
“Kerajaan Negeri menerusi Sekretariat Perantau Anak Pahang terus berperanan menyantuni anak-anak Pahang di perantauan agar mereka tidak merasa tersisih dan sentiasa dekat dengan negeri Pahang.
“Untuk itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan geran sebanyak 200 ribu ringgit dengan pelaksanaan beberapa program seperti Jamuan Mega Raya Perantau Anak Pahang, Karnival Sukan Perantau Anak Pahang, Larian Tok Gajah dan Baucar Petrol Moh Balik Beraya Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Dalam pada itu, usaha mendekati rakyat akan diteruskan menerusi pelaksanaan Moh Karnival Makmur di setiap daerah dan diadakan bersekali dengan Karnival Tanah Pahang serta Program Sentuhan Rakyat Makmur dengan peruntukan RM5 juta.
Program-program ini diadakan bertujuan mendedahkan rakyat dengan pelbagai maklumat dan informasi termasuklah bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Pahang menerusi pelbagai agensi yang turut serta sepanjang program berlangsung. -PAHANGMEDIA

