Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menjenamakan semula Bantuan Prihatin Pahang dan Program Pahang Makmur sebagai Inisiatif Makmur Pahang atau I.M. Pahang bagi menyeragamkan bentuk bantuan dan inisiatif sebelum ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, matlamt I.M tetap sama iaitu usaha Kerajaan Negeri dalam menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada semua lapisan masyarakat daripada bayi yang baru lahir sehinggalah ke peringkat warga emas.
Katanya, bagi meneruskan agenda kebajikan berkenaan, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan RM50.54 juta pada tahun hadapan.
“Bagi Inisiatif Makmur Pahang Kluster Pelajar, Kerajaan Negeri dengan kerjasama MBS Books & Stationery akan meneruskan pemberian Kad Diskaun sehingga 30 peratus kepada semua pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi, guru dan pensyarah.
“Selain itu,sebanyak RM9 juta diperuntukkan untuk peralatan persekolahan bagi semua pelajar sekolah RM800,000 untuk pelajar tahfiz, RM2.5 juta diperuntukkan untuk buku rujukan dan latihan bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM, dan sebanyak RM8 juta untuk pelajar yang melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Katanya lagi, bagi penerima Insiatif Makmur Pahang Kluster Agama pula, jemaah haji akan menerima wang saku RM750 setiap seorang dengan peruntukan RM1.66 juta menerusi program Barakah Haji Pahang, Masjid dan surau kebenaran solat Jumaat akan menerima sumbangan RM10 ribu ringgit dengan peruntukan RM7.8 juta manakala Maahad Tahfiz akan menerima RM2,000 dengan peruntukan RM400,000.
“Selain itu, setiap pasangan pengantin yang berkahwin kali pertama akan menerima RM300 dengan peruntukan RM2.5 juta, RM200 akan diberikan kepada setiap mualaf akan menerima RM200 dengan peruntukan RM1 juta dan RM1.3 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program Berkhatan Anak Pahang,” ujarnya.
Bagi Insiatif Makmur Pahang Kluster B40 pula, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, anak yatim yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima bantuan RM250 setiap seorang melibatkan kos RM100,00.
Selain itu ujarnya, golongan petani akan menerima bantuan RM200 setiap seorang dengan peruntukan RM1.075 juta manakala golongan nelayan akan menerima bantuan RM200 setiap seorang dengan peruntukan RM610,000.
Menurutnya lagi, bagi penerima Inisiatif Makmur Pahang Kluster Umum, warga emas akan menerima subsidi pembedahan katarak mata dengan peruntukan RM1 juta selain meneruskan pemberian kad kesihatan kepada warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi program Kasih Makmur (RM5 juta), program Atlet Makmur (RM300,000), Permata Makmur (RM6.5 juta), dan pemberian insentif kepada Pengerusi JPKK, Pengerusi JPKKOA, Tok Batin dan Timbalan Pengerusi JKKR dengan peruntukan RM1 juta,” ujarnya.
Kerajaan Negeri juga dalam masa sama akan meneruskan inisiatif Juadah Makmur dengan peruntukan sebanyak RM8.5 juta selain turut bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNK) bagi menjayakan program Jalan Makmur dengan peruntukan sebanyak RM2.52 juta. -PAHANGMEDIA

