Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri akan meneruskan agenda pemantapan infrastruktur ICT dan pangkalan data dengan peruntukan sebanyak RM5.8 juta bertujuan meningkatkan kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri juga turut memperuntukkan RM200,000 bagi menganjurkan Festival Digital Pahang / Pahang Teknologi Revolusi Expo (TREX).
“Mengambil kesempatan ini, Kerajaan Negeri ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memperuntukkan sebanyak RM128 juta untuk pelaksanaan Sistem e-Tanah bagi tujuan transformasi sistem pentadbiran tanah secara digital bermula tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Kerajaan Pahang turut menitikberatkan keperluan penduduk di kawasan luar bandar agar dapat menikmati capaian internet bertujuan pembelajaran dan kemahiran digital dengan memperuntukkan RM3 juta.
“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 juta bagi menyambung langganan jalur lebar satelit di kawasan yang mempunyai masalah capaian internet menerusi program PRISMA 4.0,” katanya. -PAHANGMEDIA

