Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang bersetuju memperuntukkan sebanyak RM196.06 juta dalam usaha menyuburkan, mengembangkan dan mengukuhkan lagi syiar Islam di bumi Pahang, bertambah sebanyak RM33.53 juta berbanding tahun lalu.
Peruntukan berkenaan akan disalurkan kepada Jabatan Agama Islam Pahang, Jabatan Mufti Negeri Pahang, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Pahang.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, terdapat enam projek dan program yang akan mendokong usaha memartabatkan syiar Islam di negeri ini.
“Projek pertama adalah dengan meneruskan pelaksanaan kerja-kerja pembinaan Kompleks Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan di Indera Mahkota dengan peruntukan RM5 juta.
“Kedua dan ketiga adalah dengan meneruskan pelaksanaan pembinaan masjid baharu di Batu 3 Kuantan dengan peruntukan RM2 juta dan Masjid Indera Sempurna Kuantan dengan peruntukan RM3 juta.
“Keempat pula adalah dengan menganjur kursus kepimpinan dan pengurusan Islam kepada Pemimpin komuniti Islam Minoriti oleh Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dengan peruntukan RM1 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Tambahnya lagi, projek yang kelima pula adalah dengan membina dan menyiapkan Kompleks Mahkamah Syariah Temerloh dengan peruntukan RM3.5 juta dan keenam pula adalah dengan melaksanakan kerja-kerja pembinaan Balai Cerap (Baitul Hilal) Kampung Tekek, Pulau Tioman dengan peruntukan RM1.53 juta.
Selain itu, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Program Pemerkasaan Hubbul Watan berteraskan kedaulatan, kerukunan dan kelestarian sebagai naratif pemerkasaan jati diri watan Pahang dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.-PAHANGMEDIA

