Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan RM3.21 juta bagi pembangunan industri mineral mampan di negeri ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Kerajaan Negeri amat memberi penekanan terhadap pengurusan sumber mineral yang mampan dan berinovasi.
“Bagi mengukuhkan industri mineral pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri melalui peruntukan RM1.6 juta yang disumbangkan oleh Pahang Mining Corporation Sdn. Bhd. akan melaksanakan Projek Pengembangan Industri Perlombongan Pahang merangkumi Projek Kajian Potensi dan Deposit Mineral Negeri Pahang, Projek Kajian Pra Kebolehlaksanaan Kaedah Baharu Pengangkutan Mineral dan Projek Pengurusan Sisa Lombong.
“Di samping itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM1.61 juta bagi tujuan meneruskan pelaksanaan pembangunan Akademi Mineral Malaysia Pahang di Lipis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pembentangan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang telah menubuhkan Pahang Mining Corporation Sdn. Bhd. pada Ogos 2020 bagi menyelaras dan mengurus aktiviti berkaitan perlombongan di negeri ini.
“Kerajaan Negeri amat memberi penekanan terhadap pengurusan sumber mineral yang mampan dan berinovasi. Oleh itu, bagi memastikan objektif ini dapat dicapai, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Pahang Mining Corporation Sdn. Bhd. pada bulan Ogos 2020 untuk menyelaras dan menguruskan semua aktiviti berkaitan perlombongan agar ia dilaksanakan dengan lebih bersistematik dan berkesan serta meminimumkan ketirisan kutipan hasil negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

