Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan RM7.07 juta kepada Tourism Pahang bagi merancakkan aktiviti pelancongan di negeri ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ini bagi meningkatkan kehadiran pelancong ke Pahang terutamanya dalam persediaan sempena Program Melawat Malaysia 2026.
“Kerajaan Negeri akan memberikan tumpuan kepada usaha-usaha merancakkan sektor pelancongan dengan kerjasama pihak-pihak berkepentingan bagi membantu pembangunan infrastruktur dan aktiviti promosi pelancongan yang seterusnya akan meningkatkan kehadiran pelancong ke negeri Pahang terutamanya dalam persediaan sempena Program Melawat Malaysia (Visit Malaysia) Tahun 2026.
“Sementara itu, bagi tujuan promosi pelancongan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM7 juta bagi program promosi pelancongan, penganjuran serta penyertaan program dan acara dalam negara dan antarabangsa serta penganjuran Malaysia International Tourism Pahang (MIT Pahang).
“Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk meneruskan Program Pelancongan Kereta Api di laluan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus dengan peruntukan RM400,000. Dalam pada itu, RM3 juta diperuntukkan bagi tujuan penyediaan infrastruktur dan fasiliti pelancongan di kawasan pelancongan negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pembentangan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM19.96 juta kepada Perbadanan Muzium Negeri Pahang bagi geran mengurus dan pembangunan.
Tambah beliau, sebanyak RM2 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri kepada Perbadanan Taman Negeri Pahang bagi mengurus, melaksanakan inisiatif, program dan juga kajian berkaitan Taman Negeri.
“Antaranya, Kajian dan Pembangunan Maran – Chini Geopark dan Galeri Lipis Geopark ke arah pengiktirafan UNESCO Global Geopark serta mengukuhkan penguatkuasaan di Taman-Taman Negeri Pahang.
“Selain itu, bagi merancakkan aktiviti pelancongan di Pulau Tioman, peruntukan sebanyak RM300,000 diperuntukkan untuk program promosi dan penganjuran acara perlancongan di pulau itu.
“Di samping itu juga, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM190,000 untuk meneruskan aktiviti di Kompleks Perkampungan Budaya Orang Asli Betau, Lipis,” katanya. -PAHANGMEDIA

