Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang bersetuju untuk menampung kenaikan kos pembinaan setiap Rumah Rakyat Pahang yang diberi percuma kepada rakyat miskin atau miskin tegar terpilih daripada RM75,000 kepada RM80,000 sebuah.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri juga akan membina sebanyak 350 unit RRP Fasa 6 melibatkan kos pembinaan sebanyak RM28.7 juta melalui peruntukan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) dengan sokongan peruntukan sebanyak RM9.45 juta daripada Kerajaan Negeri.
“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri turut akan menyediakan peruntukan yang berjumlah RM9.84 juta bagi tujuan pelaksanaan pembinaan sebanyak 120 unit Rumah Rakyat Pahang Fasa 6 khusus untuk masyarakat Orang Asli di Pahang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 di Wisma sri Pahang, di sini hari ini.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri juga turut proaktif dalam memastikan setiap lapisan rakyat negeri ini dapat memiliki hartanah golongan muda.
“Menyedari cabaran ekonomi dan kekangan kewangan yang dihadapi golongan ini, Kerajaan Negeri akan melancarkan satu Projek Pangsapuri Pahang khas kepada golongan muda yang berpendapatan rendah.
“Keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan semua generasi di negeri ini terus terpelihara dan pelaksanaan projek bakal dibangunkan ke setiap daerah di negeri Pahang,” katanya.
Tambahnya lagi, Projek Pangsapuri Pahang berkenaan merupakan rintis yang dijangka akan bermula pembinaannya pada tahun hadapan.
“Itu adalah projek pilot di mana kita dapati tanah di negeri ini semakin kurang, jadi dengan pangsapuri ini, contoh dengan satu ekar atau dua ekar, ramai yang akan dapat duduk.
“Lokasinya kita masih belum kenalpasti kerana ini projek rintis, namun yang pastinya ianya akan menguntungkan terutamanya buat golongaan B40.
“Perancangannya akan dibuat di setiap daerah dan kita akan mula bina satu pada tahun hadapan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

