Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kira-kira 8,000 penjawat awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak satu bulan setengah gaji melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM33.3 juta.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, BKK ini diberikan sebagai menghargai sumbangan dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan kerja dengan baik dan meningkatkan pencapaian pada masa hadapan.
“Sebagai menghargai sumbangan dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan kerja baik dan meningkatkan pencapaian di masa hadapan, saya mengumumkan suatu Bantuan Khas Kewangan kepada anggota perkhidmatan awam Kerajaan Negeri Pahang.
“Untuk itu, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan sebanyak satu bulan setengah gaji kepada setiap penjawat awam di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang.
“Bayaran ini akan dikreditkan pada tahun 2025 yang melibatkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM33.3 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk menerima pakai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebagaimana diumumkan Kerajaan Persekutuan.
“Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ini akan memberikan kenaikan gaji sebanyak 15 peratus yang akan mula dibayar bermula Disember 2024 sebanyak 8 peratus dan baki 7 peratus bermula Januari 2026 yang melibatkan implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM55.014 juta,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan yang dicapai penjawat awam Negeri Pahang antaranya kejayaan Majlis Bandaraya Kuantan, Majlis Daerah Jerantut yang memenangi Anugerah Penarafan Bintang pada Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2024. -PAHANGMEDIA

