Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Pembinaan masjid baru Kampung Tekek, Pulau Tioman bagi menggantikan masjid lamanya kini dalam tindakan permohonan peruntukan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Kerajaan Negeri Pahang amat memberi perhatian terhadap pembinaan Masjid Tekek berkenaan.
Justeru katanya, sebaik sahaja peruntukan telah tersedia, kerja-kerja membina masjid berkenaan akan dijalankan.
“Kampung Tekek ini sebenarnya dah ada masjid, cuma masjidnya agak lama jadi perlu kepada masjid baru. Sebenarnya Kerajaan Negeri sangat prihatin dengan pembinaan masjid dan disebabkan itu di Pahang ini kita ada 690 buah masjid, Alhamdulillah.
“Di Kampung Tekek ini nak bina masjid memang Kerajaan Negeri juga memberi perhatian, sebab itu pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama Pejabat Pembangunan Negeri telah membuat permohonan peruntukan kepada pihak MOF (Kementerian Kewangan) dan juga Kerajaan Negeri telah mengenalpasti beberapa tapak cadangan.
“Seandainya peruntukan telah tersedia nanti, InshaAllah kita akan bina masjid ini,” katanya bagi menjawab soalan yang dikemukan oleh ADUN Tioman, YB. Dato’ Sri Mohd Johari Hussain dalam sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat ke-3 Penggal ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan YB. Dato’ Sri Mohd Johari berkaitan menjadikan Masjid Kampung Tekek sebagai ikon kepada kampung sekitar gugusan Pulau Tioman, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, ia merupakan satu cadangan yang baik.
Malah katanya, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah memperkenalkan bantuan kepada setiap masjid di negeri ini dengan jumlah sebanyak RM10,000 bertujuan untuk memotivasikan jawatankuasa masjid supaya memastikan institusi masjid itu menjadi ikon kepada ahli qariahnya.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dalam pada itu berkata, penduduk Kampung Tekek tidak perlu bimbang akan hak mereka untuk mendapatkan masjid baharu berkenaan.
“Sejak enam tahun saya menjadi Menteri Besar, sebanyak 38 buah masjid telah dibina dan akan dibina dengan kos sebanyak RM117 juta. Masjid Tekek itu dalam proses,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

