Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang mengarahkan pokok durian yang ditanam secara haram di tanah seluas kira-kira 404.69 hektar di Sungai Perdak, Bentong dimusnahkan.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, arahan tersebut dikeluarkan bagi memastikan aktiviti pencerobohan tidak terus berlaku di kawasan berkenaan.
“Kerajaan Negeri memandang serius aktiviti pencerobohan tanah secara haram milik Kerajaan Negeri yang dikesan berlaku di kawasan Sungai Perdak, Mukim Sabai, Daerah Bentong.
“Dianggarkan kira-kira 1,000 ekar tanah kerajaan telah diceroboh serta terletak di kawasan tersorok dan tersepit di antara kawasan Hutan Simpan Kekal Lentang Tambahan dan betul-betul bersempadanan dengan tanah Negeri Sembilan. Hasil siasatan mendapati kawasan tersebut telah ditanam dengan pokok durian.
“Malah, saya juga mengarahkan agar pokok durian yang ditanam di atas tanah kerajaan dimusnahkan bagi memastikan aktiviti pencerobohan tidak terus berlaku. Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan di bawah Seksyen 426A(1)(c) Kanun Tanah Negara (Akta 828),” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang tanah dan mencemarkan integriti sumber alam negeri ini memandangkan ia akan memberi impak buruk dalam banyak aspek.
“Sebagai langkah tegas, saya telah mengarahkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) untuk mengambil tindakan penguatkuasaan.
“UPNP telah melakukan serbuan ke kawasan terbabit hari ini dan menyita rumah pekerja serta peralatan yang ditemui.
“Aktiviti pencerobohan seperti ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi juga boleh memberikan impak buruk kepada alam sekitar dan komuniti setempat,” katanya.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menegaskan Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya kepada pihak yang didapati terlibat dengan aktiviti penerokaan tanah secara haram di negeri ini.
“Kerajaan Negeri akan memastikan semua tanah milik kerajaan dipelihara demi kepentingan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
“Kerjasama daripada orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti penerokaan haram amatlah dihargai.
“Sama-sama kita memastikan Pahang terus terpelihara dan bebas daripada aktiviti pencerobohan yang tidak bertanggungjawab,” katanya. -PAHANGMEDIA

