Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2024: Kerajaan Negeri Pahang menerusi Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd (ORACO) komited dalam memastikan anak-anak masyarakat Orang Asli menerima pendidikan yang sewajarnya.
Dalam merealisasikan usaha itu, ORACO telah menyumbangkan tiga buah Smart TV kepada tiga buah sekolah yang menjalankan program Chup Badui Sikulah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pagi, Jerantut, SK Pagar Sasak, Lipis dan SK Teluk Gunung, Lipis.
Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah berkata, penyerahan Smart TV itu sebagai usaha untuk membantu pihak sekolah menarik minat murid Orang Asli untuk hadir ke sekolah.
“Hari ini kita ada program bersama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) menyampaikan sumbangan kepada sekolah yang mengadakan program khusus untuk masyarakat Orang Asli dari kaum Batek yang dipanggil Chup Badui Sikulah atau Jom ke Sekolah.
“Dan dalam siri lawatan saya sebulan yang lepas, saya dapati kemudahan di sekolah ini agak kurang dan tidak menarik minat kepada anak Orang Asli untuk hadir. Mereka ini lebih menarik minat kepada perkara berbentuk digital.
“Ini maklumat yang kita dapat dari sekolah. Jadi disebabkan itu, ketika lawatan, pihak sekolah minta kita berikan sumbangan Smart TV kepada sekolah berkenaan yang mengadakan program Chup Badui Sikulah ini untuk tarik minat anak-anak Orang Asli pergi sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Smart TV berkenaan bertempat di JPNP, di sini hari ini. Penyerahan Smat TV itu turut disaksikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Encik Amzan Abdul Malek.
Selain sumbangan Smart TV, ketiga-tiga sekolah berkenaan turut menerima sumbangan Kerajaan Negeri berjumlah RM17,000 bagi tujuan pembelian baju sukan dan kelengkapan sekolah kepada murid Orang Asli seekolah berkenaan.
Tambah YH. Dato’ Muhammad Olian lagi, dengan sumbangan berkenaan diharap dapat menarik minat murid Orang Asli hadir ke sekolah sekali gus tidak ketinggalan dalam memperoleh ilmu pengetahuan.

Sementara itu, Guru Besar SK Kampung Pagi, Jerantut, Encik Asri Mohamed merakamkan penghargaan kepada pihak ORACO dan JPNP atas sumbangan yang diberikan.
“Dengan bantuan ini dapat meningkatkan lagi akses murid Orang Asli terhadap pendidikan digital. Terima kasih ORACO dan JPNP atas inisiatif yang sangat bermakna ini,” katanya.

Guru Besar SK Teluk Gunung, Lipis, Puan Normazita Abdul Ghani pula berkata, dengan sumbangan yang diberikan diharap dapat meningkatkan lagi kualiti aktivit pembelajaaran dan kokurikulum sekali gus memberi manfaat kepada anak Orang Asli sekolah terbabit.
“(Sumbangan Smart TV) sangat membantu kami dan sangat memberi manfaat terutamanya dalam menyahut seruan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu dasaar pendigitilan negara.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri khusunya ORACO yang telah memulakan langkah awal pada kami yang tinggal di hujung (pendalaman) sana. Kami sangatt berbesar hati,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

