Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Fadhil Roslizan
RAUB, 25 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Pahang menaikkan kos pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RRP) kepada RM80,000 daripada RM75,000 dengan kos tambahan keseluruhan RM1.68 juta bagi 336 RRP seluruh Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kenaikan jumlah tersebut telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) selepas mengambil kira kenaikan kos bahan binaan kira-kira 25 hingga 30 peratus.
“Ini disebabkan oleh kenaikan kos antara 25 peratus ke 30 peratus dan kita bincang di dalam Exco sebab ini rumah rakyat Pahang kita beri secara percuma kita hendak jaga kualiti apabila rumah itu siap,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2024 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan), Dato’ Mohd Rahim bin Rani, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Pengarah JPNP, Tuan Zainuddin Jamaluddin.
Pada majlis sama, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy telah menyempurnakan penanaman pokok sebagai simbolik perasmian dan turut diadakan pelancaran Buku Program Buyback Guarantee Tapak Semaian.
Sejak pelaksanaannya pada tahun 2020, Rumah Rakyat Pahang (RRP) telah melalui beberapa fasa pembinaan untuk menyediakan tempat tinggal kepada rakyat yang memerlukan.
Jumlah keseluruhan sehingga kini lebih 1,029 unit RRP telah dibina atau sedang dalam pembinaan iaitu fasa 1 (2020) : 104 unit, fasa 2 (2021): 205 unit, fasa 3 (2023): 184 unit siap, dengan tambahan 86 unit dijangka siap pada penghujung tahun ini.
Manakala fasa 4 (2023) dengan sebanyak 450 unit, termasuk 100 unit untuk masyarakat Orang Asli.
Rumah-rumah ini disediakan secara percuma kepada penerima yang layak, dengan tambahan bantuan seperti sumbangan untuk perabot dan perkakasan rumah.-PAHANGMEDIA

