Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Hasuzila Hashim
RAUB, 25 NOVEMBER 2024 : Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyumbangkan hampir RM100 juta hasil kutipan hutan yang turut menyumbang kepada kejayaan kutipan negeri sebanyak RM1.144 bilion sehingga November.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan ini adalah hasil usaha JPNP menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan kutipan kompaun.
“Saya juga ucapkan terima kasih kerana mereka (JPNP) telah berjaya menjalankan aktiviti-aktiviti penguatkuasa, kutipan kompaun dan ada juga kes-kes yang telah dibawa ke mahkamah.

“Saya harap usaha ini dapat diteruskan dan keberkesanannya dapat kita lihat apabila hasil daripada Jabatan Perhutanan Negeri dapat ditambah dan aktiviti-aktiviti haram ini didapati semakin hari semakin kurang disebabkan oleh penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Perhutanan.
“Jadi saya harap mereka dapat teruskan usaha ini, dapat kekalkan, dapat tingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2024 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan), Dato’ Mohd Rahim bin Rani, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Pengarah JPNP, Tuan Zainuddin Jamaluddin.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut memberi jaminan Kerajaan Pahang akan menjaga kawasan berhutan seluas 2.06 juta hektar yang mewakili 57 peratus keluasan negeri ini agar tidak akan berkurangan.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, seluas 1.6 juta hektar merupakan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang diuruskan berdasarkan Amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management – SFM).
“Kerajaan Negeri juga telah mewartakan seluas 645,751 hektar ataupun 40 peratus kawasan HSK ini sebagai Hutan Perlindungan yang mana “tidak boleh disentuh apalagi diusik” untuk kerja-kerja pengusahasilan hutan.
“Fakta ini meletakkan Pahang sebagai penyumbang terbesar kawasan berhutan dalam kalangan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia,” katanya. – PAHANGMEDIA

