Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Pahang begitu komited dan bersungguh-sungguh menangani isu ketirisan dan kebocoran di Negeri Pahang sekali gus berjaya mengekalkan kutipan hasil berjumlah melebihi RM1 bilion selama tiga tahun berturut-turut.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesungguhan semua agensi kerajaan memberikan hasil yang terbaik demi kebaikan semua rakyat Pahang.
Menurutnya, kutipan hasil yang tinggi akan turut memberi manfaat dan kebaikan kepada semua rakyat menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada semua peringkat masyarakat.
“Kita berjaya mendapat RM1 bilion ini salah satu sebabnya kita uruskan ketirisan dan kebocoran, ketirisannya antaranya adalah sepertimana yang berlaku kecurian bauksit itu salah satu, selain daripada salah guna kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-Ramai) Daerah Kuantan di Dewan Atabara, Indera Mahkota di Kuantan, hari ini.
Hadir sama ialah Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan dan YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin.
Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-Ramai) adalah insiatif Kerajaan Negeri bagi membantu meringankan bebanan kewangan oleh pasangan pengantin yang berhasrat mendirikan rumahtangga bersama pasangan masing-masing.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM300,000 sumbangan bagi merealisasikan program tersebut di empat daerah iaitu Kuantan, Bera, Temerloh dan Bentong.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Pahang di bawah kepimpinannya tidak akan ketinggalan memberikan bonus kepada rakyat terutama apabila kutipan hasil sudah mencapai lebih RM1 bilion pada November 2024.
“InsyaaAllah (bonus), dalam pentadbiran saya selama enam tahun mana pernah tak bayar bonus, cuma banyak dengan sikit sahaja,” katanya. -PAHANGMEDIA

