Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Pahang mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur kegiatan ‘kecurian’ bauksit yang digempur agensi itu, di Bukit Goh, Kuantan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejadian ‘kecurian’ mineral seumpama isu bauksit ini merupakan ketirisan dalam kutipan hasil Kerajaan Negeri yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat di Pahang.
“Saya mengalu-alukan tindakan SPRM sebab ini melibatkan hasil apabila berlakunya kecurian mineral bauksit, Kerajaan Negeri akan kehilangan hasil dan apa pun kita tunggu keputusan mahkamah, sebab ini masih lagi dalam peringkat siasatan.
“Kita akan beri kerjasama sepenuhnya, memang daripada dulu lagi kita akan beri kerjasama malahan mereka melakukan kesalahan mencuri, apa pun aktiviti haram bukan sahaja dikompaun kita bawak terus ke mahkamah, itu menunjukkan betapa seriusnya kita.
“Dan dengan adanya SPRM lagi baiklah untuk kita meminimakan atau menghapuskan langsung ketirisan hasil Kerajaan Negeri sebab ini melibatkan hasil, makna kalau berlaku kecurian sebegini Kerajaan Negeri akan kehilangan hasil dan yang ruginya rakyat juga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-Ramai) Daerah Kuantan di Dewan Atabara, Indera Mahkota di Kuantan, hari ini.
Hadir sama ialah Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan dan YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM menggempur kegiatan memunggah keluar bauksit di Kuantan, Pahang selepas Bahagian Perisikan SPRM melakukan serbuan di sekitar Bukit Goh.
Turut ditahan dan direman, tiga individu termasuk dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi berkenaan kerana dipercayai terbabit dalam rasuah bagi melindungi kegiatan itu.
Kesemua mereka berusia 30 hingga 50 an itu direman selama enam hari sehingga 19 November depan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat disiasat dibawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa syarikat terbabit tidak mempunyai permit yang sah dan akaun syarikat telah disita di samping siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti sekiranya terdapat elemen rasuah melibatkan penjawat awam. -PAHANGMEDIA

