Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 15 NOVEMBER 2024 : Penganjuran Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Pahang oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) disifatkan sebagai medan untuk memperbaiki bacaan hafazan selain membolehkan para peserta terus berlatih dan mengingati kalam suci Al-Quran agar tidak lupa.
Bagi Juara Kategori 1-30 Juzuk (Lelaki), Muhammad Aiman Zakani, 19, yang merupakan penuntut di Darul Uloom Al-Islamiah Jerantut, peluang menyertai pertandingan ini merupakan cabaran buatnya yang pertama kali bersaing di peringkat negeri.
Dia yang merupakan anak keempat daripada sembilan beradik berkata, ibu yang merupakan peniaga ayam madu dan ayahnya yang mengusahakan ladang sawit sentiasa memberi galakan kepada dia dan adik-beradik lain untuk menghafaz Al-Quran.
Meskipun tidak menjangkakan kemenangan namun Aiman berharap agar dapat terus memperbaiki bacaan dan terus melancar bacaan hafazan.
“Saya bersyukur Alhamdulillah atas kemenangan saya dan usaha saya bagaimana untuk tip-tip kelancaran.
“Saya ingin pergi lebih jauh InsyaaAllah dan melancarkan lagi Al-Quran saya untuk sentiasa ingat Al-Quran, InsyaaAllah,” katanya.
Sementara itu, Juara Kategori 1-30 Juzuk (Perempuan), Nur Alya Farhani Mohd Ghazali, 24, berkata, dia yang sudah empat kali bergelar juara bagi kategori sama tidak memandang kepada kemenangan sebaliknya melihat usaha mempertingkatkan kualiti bacaan serta kelancaran kalam Al-Quran.
Walaubagaimanapun, beliau berkata, dia berhadapan cabaran dalam memperbaiki bacaan apabila rutin berkeluarga begitu mencabar sesi latihannya.
“Sebabnya bila dah di universiti, graduate, berkahwin, dah ada anak, ada suami, lain dia punya rutin dengan student, bila student senang nak disiplin, kita cara ke diri sendiri kan, ni bila dah berkeluarga lain cara dia, mencabar.
“Kena cari caralah, salah satu cara masuk musabaqah ni supaya Al-quran itu dipaksa untuk ingat jugak, kalau tak, tak boleh juga,” katanya.
Kedua-dua mereka antara pemenang bagi kategori masing-masing yang telah menerima hadiah disampaikan oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad pada Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1446 Hijriah / 2024 Masihi di Hotel Swiss-Bell Kuantan.
Majlis yang berlangsung selama tiga hari bermula Selasa itu telah disertai 51 institusi pengajian Islam seluruh Pahang dengan seramai 30 peserta yang menyertai enam kategori iaitu Kategori 1-10 juzuk (lelaki), Kategori 1-10 juzuk (perempuan), Kategori 1-20 juzuk (lelaki), Kategori 1-20 juzuk (perempuan), Kategori 1-30 juzuk (lelaki) dan Kategori 1-30 juzuk (perempuan). -PAHANGMEDIA

