Oleh : Ain Nadhirah Basha
PEKAN, 15 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah menghantar keperluan bekalan bencana ke 14 pengkalan hadapan di daerah ini sebagai persediaan awal menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, bekalan ini bagi memenuhi keperluan 19,950 mangsa di 104 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini.
“Program flag off adalah simbolik kepada misi penghantaran keperluan bekalan bencana ke pangkalan hadapan di daerah Pekan bagi persediaan 104 pusat pemindahan sementara di seluruh daerah Pekan yang menampung seramai 19,950 mangsa pindah bagi menghadapi Monsun Timur Laut.

“Ini merupakan inisiatif oleh Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat membuat penghantaran awal bekalan makanan dan keperluan di semua pangkalan hadapan di Negeri Pahang dengan Kerjasama Pasaraya Darul Makmur selaku pembekal pada tahun ini.
“Ia juga adalah manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang melalui perancangan yang teliti, sistematik, dan berpandangan jauh terhadap kebajikan mangsa bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Flag Off Misi Penghantaran Bekalan Bencana ke Pangkalan Hadapan bagi Daerah Pekan Tahun 2024/2025 di Dewan Serbaguna Kampung Kelat Rendang.
Turut hadir, Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli; dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Pekan, YBhg. Puan Norbaizura Abdul Latiff.

Menurut beliau, bekalan keperluan yang dihantar ke kesemua pangkalan hadapan ini meliputi barangan yang berada dalam keadaan berkualiti dan baik.
“Bekalan keperluan ini meliputi sembilan item barangan yang dipastikan berkualiti, selamat dan bersih serta disimpan di pangkalan hadapan yang telah disanitasi dan telah melalui proses pest control.
“Diantara barangan yang dihantar adalah beras, minyak, gula, biskut, kopi, teh, garam, sardin dan kari ayam. Ini merupakan salah satu usaha awal dan langkah awal Kerajaan Negeri Pahang untuk persediaan bagi menghadapi banjir.
“Bagi daerah Pekan, semua pangkalan hadapan di selia oleh kepimpinan penghulu mukim dengan kerjasama sepenuhnya oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Pekan, dan kerjasama yang sekian lama terbina ini membuktikan koordinasi dan keberkesanan pengurusan bencana daerah Pekan berada dalam tahap yang sangat baik dan bersedia,” katanya.
YB. Dato’ Mohamad Nizar berkata persediaan semua agensi dalam menghadapi monsun ini turut menjadi satu penanda aras kerjasama semua pihak sebagai satu pasukan.
“Sesuai dengan slogan Bencana Adalah Tanggungjawab Kita Bersama, kesiapsiagaan semua agensi dalam menghadapi Monsun Timur Laut 2024/2025 menjadi penanda aras bahawa kita semua sebagai satu pasukan dapat sama-sama berganding bahu menghadapi monsun dengan sebaik-baiknya,” katanya. -PAHANGMEDIA

