Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 11 NOVEMBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menitahkan agar kajian yang terperinci dapat dilakukan bagi mengurangkan risiko banjir di negeri ini.
Titah Paduka Baginda, kajian terbabit perlu dilakukan agar dapat mengurangkan impak daripada bencana berkenaan.
“Seperti biasa hujung tahun memang kita jangka hujan akan bertambah. Kalau sungai Pahang naik daripada hulu dan hilir akan menerima akibatnya, kalau laut besar di muara, akan jadilah bertakung di Pekan itu.

“Dan ini akan ada impak yang besar. Dan semua pihak dah memahami keadaan ini. Dan kita berdoa supaya segala masalah ini dapat dikurangkan. Sama-sama kita berdoa,” titah Baginda ketika berangkat bercemar duli bagi mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang dekat sini, hari ini.
Turut berangkat mengiringi Paduka Baginda ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, Pegawai Daerah Raub, Dato’ Mohd Khuzaidi Harun dan Pengarah Jabatan Kebajikan Negeri Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad.

Seramai 66 buah keluarga melibatkan 230 orang mangsa banjir dari enam buah kampung ditempatkan di PPS berkenaan sejak semalam.
Paduka Baginda dalam titahnya turut percaya kesemua jentera kerajaan telah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
“Saya percaya pihak jentera kerajaan pun telah bersedia.. setiap daerah pun sudah dimaklum, dan tindakan negeri juga telah bersedia saya harap. Dan kita harus bersabarlah dan kita doakan cuaca tidaklah seteruk seperti dahulu dan bencana besar tidak berlaku di negeri Pahang.
“Saya nasihatkan petugas bertugas dengan amanah ikhlas membantu menyediakan tempat, berilah keselesaan kepada mangsa kita. Saya harap juga mangsa tidak minta berlebihan dan terimalah apa yang diberikan dan jangan cepat melenting. Ini semua dugaan diberikan semua pihak,” titah Paduka Baginda. -PAHANGMEDIA

