Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang merupakan negeri pertama memberikan tambahan kuota kepada 2,000 calon di bawah program MyLESEN dengan nilai sebanyak RM720,000.
Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, tambahan ini sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri Pahang terhadap inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.
“Untuk kuota 2,000 daripada Kerajaan Negeri Pahang, ia sebenarnya untuk tahun ini tetapi kita nak selesaikan dahulu program MyLESEN daripada Kerajaan Persekutuan, dah selesai baru kita sambung yang daripada Kerajaan Negeri pula.

“Dan memandangkan dah hujung tahun dan mungkin tak sempat, kita akan jalankan pada awal tahun hadapan.
“Ini menjadikan jumlah penerima manfaat di Negeri Pahang gabungan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah seramai 4,590 calon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutupan Program MyLESEN Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 di Hotel Grand Darul Makmur.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, YBhg. Datuk Jazmanie Shafawi; Pengarah JPJ Negeri Pahang, YBrs. Tuan Haji Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman; Timbalan Pengarah Bahagian Pelesenan Pemandu JPJ Malaysia, YBrs. Puan Izawati Zai; dan Timbalan Pengarah JPJ Negeri Pahang, YBrs. Tuan Mohd Hasnor Kutik.

Beliau berkata program ini juga dilihat memberi kesan positif kepada pembangunan ekonomi masyarakat di negeri ini selain berhasrat untuk terus bekerjasama dengan pihak JPJ pada masa hadapan.
“Program ini banyak manfaat kepada masyarakat bukan setakat untuk kegunaan peribadi tetapi juga untuk mendapatkan pekerjaan, boleh jana perniagaan, ada diantaranya yang mendapat lesen bagi memandu bas, lori, e-hailing dan sebagainya. Jadi ia membuka banyak ruang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat.
“Kerajaan Negeri akan memberikan komitmen jika JPJ berhasrat untuk memperluaskan lagi program MyLESEN pada masa akan datang, agar lebih ramai rakyat negeri ini dapat menerima manfaat yang sama.
“Kerajaan Negeri juga akan terus bekerjasama dengan JPJ, institut memandu dan agensi yang berkaitan untuk meningkatkan keberkesanan dan capaian program ini,” katanya.
Program MyLESEN merupakan satu inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk memberi peluang kepada golongan B40 terutamanya belia di Negeri Pahang untuk memiliki lesen memandu
secara percuma.
Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM1,028,100 di bawah Belanjawan MADANI
2024 dengan 2,500 peserta lesen motosikal kelas B2, 40 orang peserta bagi GDL Lori, 30 orang peserta untuk lesen PSV Bas, dan 20 orang peserta lesen PSV e-hailing di Pahang. -PAHANGMEDIA

