Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 07 NOVEMBER 2024 : Kumpulan Team Tech dari Majlis Bandaraya Kuantan dinobatkan sebagai Johan bagi kategori penciptaan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Sektor Awam (KIKSA) Pahang peringkat Negeri Pahang.
Manakala kumpulan The Rome dari Pejabat Tanah dan Daerah Rompin pula dinobatkan sebagai Johan bagi kategori penambahbaikan.

Kedua-dua anugerah terbabit disampaikan oleh YB. Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pengurusan), Dato’ Dr. Mohd Zakaria Ibrahim mewakili YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob.
Dato’ Dr. Mohd Zakaria mengingatkan kepada pemenang agar tidak mensia-siakan kemenangan yang dikecapi pada hari ini.
Beliau turut mencadangkan agar pemenang diberi tempoh masa sekitar enam bulan untuk melihat sejauh mana keberkesanan inovasi yang dicipta dan sumbangannya terhadap negeri Pahang.
“Setiap tahun kita buat inovasi tetapi di mana perginya inovasi ini? Saya minta dalam masa enam bulan kita kena monitor inovasi yang menang ini. Selepas enam bulan kita lihat balik apa yang telah mereka lakukan.

“Saya bukan tengok proses, tetapi saya akan tengok impaknya. Impaknya yang paling banyak memberi manfaat kepada masyarakat dan pelanggan terutamanya,” katanya ketika menyampaikan ucapan bersempena Majlis Penutupan KIKSA Pahang yang diadakan di Ancasa Royale di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang, Dato’ Haji Abdul Walid Haji Abu Hassan; Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan, YH. Dato’ Razihan Adzharuddin; dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Unit Korporat), Puan Nurul Aini Mohammad selaku penganjur.

Sementara itu, turut menerima anugerah Johan ialah kumpulan Wira Alam Sekitar Majlis Perbandaran Bentong bagi inovasi kategori perkhidmatan kerajaan, kumpulan Plastech Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut bagi inovasi kategori institut pengajian tinggi manakala kumpulan Bentech Educators Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong bagi inovasi kategori sekolah.
Konvensyen berkenaan turut menyaksikan Puan Halina Mohamad Sood dari kumpulan Nadi Dinamik 2.0 Jabatan Pendidikan Negeri Pahang sebagai penerima Anugerah Pembentang Terbaik kategori penciptaan dan Puan Nurul Nasrah Abdul Halim dari kumpulan E-Maximus Jabatan Kehakiman Syariah Pahang sebagai penerima Anugerah Pembentang Terbaik kategori penambahbaikan.
Selain itu, kumpulan Farlog Pahang dari Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Harapan manakala kumpulan Mat Karen Majlis Perbandaran Temerloh memenangi Anugerah Reruai Terbaik. -PAHANGMEDIA

