Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 30 OKTOBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan RM1.2 juta bagi Projek Celik Al-Quran Braille untuk memenuhi keperluan orang kurang upaya (OKU) penglihatan beragama Islam di negeri ini.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Kerajaan Negeri Pahang mempertanggungjawabkan Universiti
Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) sebagai penyelaras untuk menjayakan projek ini.

“Bagi merealisasikan projek ini, UnIPSAS telah mengadakan bengkel pembangunan guru Al-Quran Braille yang disertai 28 peserta dalam
kalangan pensyarah UnIPSAS, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP), guru-guru daripada
Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) dan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sebanyak tiga siri.
“Dalam pada itu, UnIPSAS juga telah membeli 60 Unit eBraille Al-Quran berjumlah RM600,000 untuk tujuan pembelajaran dan akan ditempatkan di UnIPSAS, Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia
(PERTIS) dan sekolah-sekolah Pendidikan khas yang berkaitan.
“UnIPSAS juga turut membeli perisian komputer eBrelle Online Teaching Class Room untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang di atas keperihatinan beliau dalam memastikan projek ini dapat dilaksanakan.
“Saya selaku Ahli Jawatankuasa Penasihat UnIPSAS amat berterima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang atas keprihatinan beliau dalam memastikan Projek Celik Al-Quran Braille ini dapat dilaksanakan dengan berkesan bagi membantu golongan OKU penglihatan membaca al-Quran dan seterusnya menyuburkan syiar Islam di bumi Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

