Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 30 OKTOBER 2024 : Pasukan Speedfighter dan ROBOSiMPS MAMMOTH dari Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara dari Negeri Pahang menjuarai Robo Tracer : Green Heroes menerusi Petrosains RBTX Challenge 2024 menewaskan 437 pasukan yang telah disenarai pendek.
Pertandingan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukti Kiara di Kuala Lumpur itu telah disertai oleh peserta dari seluruh dunia yang berentap menerusi beberapa kategori iaitu Inovasi, Robo Sumo dan Robo Tracer.
Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn. Bhd. Ezarisma Azni Mohamad berkata, ini merupakan aspirasi dari Petronas dalam usaha meningkatkan literasi bidang sains khususnya di kalangan pelajar sekolah.
“Sebagai badan impak sosial PETRONAS, kami amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menginspirasi dan meningkatkan literasi STEM dalam kalangan komuniti kita.
“Petrosains RBTX Challenge adalah sejajar dengan visi PETRONAS sebagai rakan kongsi tenaga dan penyelesaian progresif yang menyumbang impak positif kepada pihak berkepentingan, masyarakat, dan alam sekitar kita,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Pertandingan robotik yang merupakan edisi keenam tahun ini telah menerima sambutan yang hangat, dengan penyertaan sebanyak 1,952 pasukan melibatkan lebih 7,000 peserta dari Malaysia dan negara lain, termasuklah Brunei dan Indonesia.
Sejak pengenalan pertandingan ini pada tahun 2018, Petrosains RBTX Challenge telah berjaya memanfaatkan lebih 77,000 peserta dalam bidang robotik dan teknologi.
Pertandingan ini menyediakan latihan asas dalam reka bentuk, pengekodan, dan teknologi sensor untuk pembangunan robotik kepada para peserta.
Pertandingan ini bertemakan kelestarian bagi menggalakkan para peserta mempraktikkan dan membangunkan projek-projek yang boleh menyumbang kepada amalan hidup lestari termasuklah menangani isu-isu kritikal seperti pengurangan sisa, penjimatan tenaga, perlindungan alam sekitar, dan sebagainya.
Pada tahun ini juga, Petrosains memperkenalkan sub-kategori baharu, “Indigenous Culture & Technology” dalam kategori Inovasi Petrosains RBTX Challenge 2024, yang melibatkan seramai 267 peserta Orang Asli serta pribumi dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Johan bagi semua kategori menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,500, manakala pemenang naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima RM2,500 dan RM1,500. – PAHANGMEDIA

