Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 29 OKTOBER 2024 : Kerajaan Pahang dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ke arah mewujudkan komuniti tanpa tunai atau ‘cashless society’ dengan mendidik para peniaga khususnya di kawasan luar bandar agar dapat memanfaatkan kemudahan tersebut.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, pelaksanaan komuniti tanpa tunai ini memberi banyak kelebihan kepada masyarakat selain memberikan kemudahan bagi urusan perniagaan.

“Melalui inisiatif ‘cashless society’ ini pertamanya mudah, kedua pantas dan yang ketiga selamat, kita tak perlu bawa cash (wang tunai), elak kecurian, dirompak, kehilangan duit dan sebagainya, jadi ‘cashless society’ adalah tren terkini di seluruh dunia sebenarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran ‘cashless society’ Pahang di Tapak Pekan Sehari Dong di Raub, hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah MCMC Negeri Pahang, YBrs Encik Shahrizal Husin, Ketua Polis Daerah Raub, Superitendan Mohd Shahril Abdul Rahman, Penghulu Mukim Dong, Encik Mohd Nor Baharum dan ketua-ketua jabatan.
Pada majlis turut diadakan pameran oleh Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), syarikat-syarikat perbankan dan MCMC sendiri bagi mendedahkan masyarakat setempat terutamanya peniaga luar bandar terhadap pelaksanaan komuniti tanpa tunai.
Dong merupakan daerah pertama di Negeri Pahang yang melaksanakan program ‘cashless society’ selepas pelancaran di Negeri Johor dan Negeri Sembilan.

Pelaksanaan ‘cashless society’ ini telah mendapat kerjasama antara Kerajaan Pahang bersama MCMC dan rakan-rakan strategik seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK), Touch N Go Digital, Maybank, Bank Islam, Bank Simpanan Nasional (BSN), Setel (dari Petronas), Wavpay, Sakupay, TM UNIFI, Klik Dengan Bijak (dari MCMC).
Justeru, kerjasama ini dapat menjadi titik tolak kepada para peniaga untuk berkembang dengan lebih maju seiring kemajuan terkini.
Sehingga 13 Oktober, program ini telah dilaksanakan di 52 lokasi terpilih dengan mencatatkan 10,851 transaksi tanpa tunai dan seramai 1,838 peniaga telah didaftarkan atas premis digital. -PAHANGMEDIA

