Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Hasuzila Hashim
LIPIS, 28 OKTOBER 2024 : Kesemua 191 menara telekomunikasi di Negeri Pahang telah selesai dibina dengan sebahagian besarnya sudah mula beroperasi di seluruh Pahang menerusi projek di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli berkata, terdapat sejumlah bilangan menara yang kini sedang dalam proses pelaksanaan pengoperasian membabitkan syarikat telco.
“Menara dah selesai (dibina), untuk bahagian kedua, untuk merangkaikan dengan telco akan ambil masa sedikit lah, tetapi bahagian pertama dah selesai, menara semua dah siap, biasanya dalam tempoh enam bulan selepas bahagian pertama selesai ni, bahagian kedua akan selesailah, mungkin cabaran sikitlah di kawasan perkampungan Orang Asli,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat berhubung capaian rangkaian akses komunikasi di seluruh Negeri Pahang daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Telekom Malaysia (TM) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sungai Koyan di Lipis, hari ini.

Hadir sama ialah Pengurus Besar Perniagaan TM Wilayah Timur, Tuan Haji Maliki Harun, Pengarah MCMC Negeri Pahang, Encik Shahrizal Husin, Ketua Pegawai Operasi Koridor Utiliti Pahang (KUP), Ir. Ts. Mohd Sably Mohd Latiff dan Ketua Pejabat Wilayah Timur TM, Encik Mohd Fairus Muhamad.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Pahang berharap agar sistem pemancar di Pahang akan lebih menyeluruh dan rakyat dapat mengakses rangkaian internet dengan baik tanpa ada daerah yang ketinggalan menerusi pelaksanaan fasa ketiga inisiatif 5G.
“Saya tengok stesen pemancar di setiap daerah ini untuk 5G tidak dibina secara menyeluruh, khususnya daerah Bera, Maran, Jerantut, Lipis dan Raub yang agak kurang berbanding daerah-daerah lain.
“Jadi untuk fasa ketiga tahun depan, untuk inisiatif 5G ini saya difahamkan pihak DNB (Digital Nasional Berhad) akan bagi tumpuan kepada negeri-negeri di Pantai Timur khususnya Pahang, Kelantan dan Terengganu.
“Seiring dengan itu kita sedang menambah baik rangkaian, capaian dan akses komunikasi di seluruh Negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

