Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 OKTOBER 2024 : Pesta Buku Pahang 2024 menjadi salah satu penyumbang menggalakkan kedatangan pelancong pendidikan (edutourism) di negeri ini.
Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Hajah Sabariah Saidan, pesta ini bertepatan dengan konsep edutourism yang merupakan fungsi terbaharu Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP).
“Di samping menikmati juadah yang enak dan keindahan destinasi pelancongan menarik seperti Teluk Chempedak dan Sungai Lembing, pelancong juga berpeluang menyertai perkongsian ilmu yang disediakan.
“Ini adalah bertepatan dengan fungsi terbaru Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang iaitu menggalakkan Pelancongan Buku dengan konsep edutourism,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan Pesta Buku Pahang 2024 di Berjaya Megamall.
Turut hadir, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man; dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, YBhg. Puan Nor Zahira Muhammad Azmi.
Tambah beliau, penganjuran Pesta Buku Pahang 2024 yang berlangsung selama 10 hari sehingga 3 November ini banyak memberi manfaat kepada seluruh rakyat di negeri ini.
“Sebagaimana yang kita sedia maklum, Pesta Buku Pahang 2024 bermula pada hari Jumaat, 25 Oktober dan akan berakhir pada Ahad, 3 November. Saya menyeru kepada semua lapisan masyarakat agar datang beramai-ramai bersama keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai untuk memeriahkan pesta buku kali
ini.
“Memandangkan kita semua akan bercuti umum sempena Perayaan Deepavali yang disambut Khamis ini, pesta buku ini adalah platform sosial yang sangat sesuai untuk seisi keluarga meluangkan masa bersama,” katanya. -PAHANGMEDIA

