Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 OKTOBER 2024 : Sekolah politik Barisan Nasional (BN) di bawah biro latihan dan perkaderan UMNO Malaysia akan diperhalusi terlebih dahulu namun ia akan segera dilaksanakan.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Naib Presiden UMNO, penubuhan sekolah politik ini memerlukan banyak perbincangan dan tidak boleh diambil mudah.
“Saya akan mengadakan perbincangan lebih lanjut lagi sebab hanya semalam baru diberitahu (akan mengetuai sekolah politik).
“Dan dalam masa terdekat saya akan panggil dan kita akan melihat perkara ini dan perlu ada banyak perbincangan kerana sekolah politik ini bukan satu perkara yang boleh diambil mudah.
“Kita nak tengok silibus dia, modul dia macam mana, target group untuk siapa, dan sebagainya. Tapi saya akan segerakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang 2024 kepada Masjid Dan Surau Kebenaran Jumaat, Maahad Tahfiz/Pondok, Pelajar Tahfiz/Pondok Dan Mualaf di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.
Menurut beliau, sekolah politik tersebut akan melatih generasi baharu yang memiliki potensi untuk diketengahkan sebagai pelapis pemimpin parti.
“Pelapis-pelapislah kita panggil, dan dalam pelapis-pelapis itu mungkin ada calon-calon yang kita sendiri pun tak tahu,” katanya.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy akan mengetuai sekolah politik yang diputuskan penubuhannya kira-kira dua bulan lalu.
Sekolah politik ini akan menyediakan teori dan amali kepimpinan yang ditubuhkan di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) Janda Baik. -PAHANGMEDIA

