Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 26 OKTOBER 2024 : Sebanyak kira-kira 23 buah rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai telah mengalami kerosakan akibat ribut yang berlaku pada petang semalam.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai telah meluangkan masa melawat hampir 10 buah kediaman terjejas di sekitar Kampung Bukit Gajah.
Menurut beliau, bencana ribut seumpama ini merupakan kejadian pertama kali berlaku dalam tempoh 50 tahun di kawasan berkenaan.
“Sebanyak 20 rumah di Kampung Bukit Gajah, Kampung Baris, dan Kampung Hayat serta tiga rumah di Felda Kemahal telah terlibat dengan kejadian ribut hari ini.
“Sejak 50 tahun lalu, tidak pernah berlaku kejadian ribut seperti ini, dan ia adalah kali pertama berlaku di kawasan ini. Ini merupakan dugaan kepada penduduk di Pelangai.
“Dan bagi mereka terlibat, kita telah memanjangkan perkara ini kepada Pegawai Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut meminta penduduk terlibat supaya membuat laporan polis berkenaan insiden tersebut dan kemudiannya menyerahkan laporan kepada pihak JKM bagi tindakan lanjut.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan sentiasa bersiap siaga menghadapi musim monsun dan sentiasa prihatin dengan pengumuman yang dibuat di laman-laman sosial rasmi.
“Saya menasihatkan kepada orang ramai terutamanya masyarakat di Pahang dan di Pelangai supaya berhati-hati dan sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi kebarangkalian yang bakal berlaku dan jaga keselamatan diri yang paling penting.
“Jaga diri dahulu sebelum menjaga harta benda. Masyarakat juga diingatkan supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“Dan sekiranya berlaku kejadian ribut seperti ini, orang ramai dinasihatkan untuk membuat laporan kepada pihak polis serta penghulu atau ketua kampung bagi memudahkan bantuan disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada mereka,” katanya. -PAHANGMEDIA

