Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 25 OKTOBER 2024 : Projek Talian Baharu dari Jambu Rias ke PULKA sejauh 45 kilometer oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM6.38 juta telah menaiktaraf bekalan elektrik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata ia dapat dilihat daripada penurunan laporan mengenai kerosakan terputus bekalan elektrik di kawasan berkenaan.
“Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak TNB Pahang kerana sudi menjemput saya bersama-sama hadir ke Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Sempena Mensyukuri Bekalan Elektrik Talian 33KV Jambu Rias ke PULKA telah mencapai kemajuan yang sangat baik di DUN Pelangai ini.

“Kita boleh bandingkan semasa mula-mula saya menjadi wakil rakyat sehingga kini, laporan mengenai kerosakan terputus bekalan elektrik semakin berkurangan. Ini membuktikan kejayaan pihak TNB Pahang menaik taraf talian ke 33kV.
“Dengan siapnya talian baru ini, ia juga telah mengurangkan kekerapan gangguan bekalan elektrik di kawasan DUN Pelangai. Jika sebelum ini, hampir dua hari sekali terputus bekalan elektrik dan dalam pada masa yang sama, bekalan air juga akan terputus. Ini telah mendatangkan permasalahan yang besar bagi penduduk DUN Pelangai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Serta Program Ceria Ke Sekolah Bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Pahang di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Simpang Pelangai.
Turut hadir, Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Pahang, YBhg. Encik Ir. Affendi Abd Rahman; Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail; dan Pegawai Pendidikan Daerah Bentong, YBrs. Encik Hanifah Haji Veerankutty.

Beliau turut berharap pihak TNB akan terus melaksanakan projek-projek tambahan bagi meningkatkan lagi bekalan elektrik di kawasan Pelangai selepas ini.
“Saya berharap pihak TNB akan terus melaksanakan projek-projek tambahan bagi mempertingkatkan daya dan bekalan elektrik di DUN Pelangai ini dan Insya-ALLAH saya akan terus membantu TNB sekiranya terdapat sebarang permasalahan berkaitan di kawasan ini,” katanya.
Beliau dalam majlis sama turut berterima kasih kepada pihak TNB yang telah memberi sumbangan kepada 100 pelajar di DUN Pelangai melalui program “Ceria Ke Sekolah” @ CKS TNB 2024.
“Hari ini 100 pelajar sekolah rendah di DUN Pelangai ini telah menerima bantuan berupa baucar berjumlah RM100. Pelajar-pelajar ini dilipih melalui program “Ceria Ke Sekolah” @ CKS TNB 2024.
“Terima kasih kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah-sekolah yang telah membantu melancarkan urusan pemilihan nama penerima. Adalah diharapkan agar anak-anak sekalian dapat menggunakan sebaik mungkin baucar ini dengan membeli keperluan persekolahan di MBS Book & Stationery di mana-mana cawangan di Negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

