Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 26 OKTOBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa berbesar hati dengan insiatif program pelancongan pendidikan (edutourism) di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Paduka Mulia bertitah program edutourism ini dapat menjadi hub pelancongan pendidikan utama di negeri inj serta menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan komuniti.

“Saya juga sangat berbesar hati dengan inisiatif Program Pelancongan Pendidikan Ecotourism UMPSA yang menjadikan UMPSA sebagai hub pelancongan pendidikan utama di Negeri Pahang menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan komuniti dan keupayaan ekonomi setempat.
“Program yang bermula pada Mei 2024 telah berjaya menarik penyertaan lebih 150 orang peserta antarabangsa dari Indonesia, China, Yamen, Iraq, Palestin, Mesir, Pakistan, Bangladesh, dan Somalia.
“Program ini melibatkan pakej modul pembelajaran bahasa inggeris serta elemen teknologi yang menerapkan budaya dan warisan serta mengunjungi tempat-tempat menarik, khususnya di Negeri Pahang,” titah baginda.

Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang bertitah demikian pada Konvokesyen Ke-19 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Dewan Kompleks Sukan UMPSA, Gambang.
Tengku Mahkota Pahang dalam titah turut menzahirkan penghargaan kepada UMPSA dalam usaha mengangkat martabat golongan kelainan upaya.
“Pada kesempatan ini, saya turut menzahirkan penghargaan kepada UMPSA dalam usaha mengangkat martabat golongan kelainan upaya. Pelbagai inisiatif telah disediakan oleh pihak UMPSA dalam memberikan kesaksamaan hak kepada golongan kelainan upaya,” titah baginda.
Tengku Hassanal dalam titah turut mengingatkan para graduan UMPSA supaya menjaga tingkah laku serta integriti mereka.
“Kepada para graduan, teruslah menyumbang jasa kepada negara dan Negeri Pahang juga. Sekiranya mendapat temuduga pekerjaan, buat sehabis baik.
“Saya mahu graduan lepasan UMPSA menjadi rebutan kepada majikan di luar sana. Sebut sahaja UMPSA, kualiti dan kecemerlangan graduan kita tidak akan dinafikan.
“Saya juga tidak mahu graduan UMPSA terlibat dengan aktiviti yang salah di sisi undang-undang. Jaga tingkah laku dan jaga integriti,” titah baginda.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; dan Naib Canselor UMPSA, YH. Professor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin. -PAHANGMEDIA

