Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 21 OKTOBER 2024 : Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) berharap agar Kerajaan Pahang akan dapat mempertimbangkan isu-isu yang dibahaskan oleh ADUN Belia pada Persidangan Dewan Belia Negeri Pahang 2024-2025 yang telah berlangsung hari ini sehingga esok.
Presiden MBNP, Encik Saharuddin Ahmad berkata, persiapan telah dibuat oleh semua ADUN Belia seawal dua minggu lalu bagi memilih tajuk perbahasan untuk dibincangkan di dalam Dewan Belia Negeri Pahang.

“Kita nampak usul yang dibawa dibahas dengan bagus, baik sekali, ada idea-idea dan mungkinlah ada sedikit yang dihurai daripada Speaker yang mana mungkin mereka ini berdebar, kita dah terangkan cara bercakap, cara menghadap kepada Tuan Speaker, kita dah terangkan, tetapi tentulah kali pertama akan sedikit berdebar tetapi kita tengok selepas itu sedikit rancak, mereka boleh berbahas dan mengikut tatacara dan kita nampak masa yang digunakan sebaik mungkin, tidak meleret sangat dan dalam masa yang telah ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, ADUN Belia Lantikan Dong, Mohamed Azrin Samah berpendapat bahawa platform persidangan ini amat penting dalam mengangkat peranan belia di Pahang agar suara dan hasrat mereka dapat didengar di peringkat tertinggi kerajaan sekaligus menjadi penyumbang kepada idea pembangunan negeri.
“Sidang DUN Belia ini penting untuk kita melihat kembali peranan belia itu untuk kita angkat sama-sama, untuk didengari oleh Kerajaan Negeri Pahang dan Alhamdulillah Negeri Pahang sangat terbuka di bawah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan juga YB Exco sendiri, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal yang sangat berbesar hati untuk menyantuni setiap mahasiswa kerana mereka tahu peranan mahasiswa dan belia pada hari ini sangat penting dalam pembangunan negeri dan negara tercinta,” katanya.

Bagi ADUN Belia Lantikan Pelangai, Ching Hing Tian pula, dia berasa bangga kerana menjadi satu-satunya wakil kaum Cina di dalam persidangan belia yang menganggap peluang diberikan merupakan saluran bagi menyuarakan pendapat dan keperluan belia dari kaum Cina.
“Saya sangat bersyukur kerana Majlis Belia Daerah Bentong yang memberikan sokongan kepada saya dan memberi peluang kepada saya untuk menjadi perwakilan untuk bersidang di dewan ini, ini bukan satu peluang yang selalu ada dan saya rasa bangga kerana hari ini impian menjadi realiti, saya rasa amat gembira juga,” katanya.
Persidangan Dewan Belia telah dikendalikan Timbalan Speaker Dewan Belia, YB. Tuan Khaizulnizam Mohd Zuldin.
Pada persidangan kali ketiga ini, seramai 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia dan lima ADUN Belia Lantikan telah berbahas membincangkan isu tanah belia yang melibatkan semua ADUN Belia yang bersidang. -PAHANGMEDIA

